Paling Popular
Terkini

Setiap keburukan yang dilakukan oleh Umno, orang Melayu akan terkena tempiasnya, kata pemangku presiden Umno Mohamad Hasan.

Jelas Mohamad, Umno perlu berhati-hati dan cermat dalam perbuatan kerana ramai sedang memerhati parti itu selepas kehilangan kuasa.

"Menjaga nama baik Umno bermakna menjaga nama baik orang Melayu.

"Segala buruknya Umno, orang Melayu akan terima tempiasnya. Berhati-hatilah dalam bertindak dan bercakap," katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-73 Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, petang tadi.

Hadir sama, Presiden Umno yang sedang bercuti, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Pemimpin PAS yang hadir pada majis itu ialah Ketua Dewan Ulama PAS, Dr Mahfodz Mohamed, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hasan.

BN tewas buat pertama kalinya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu selepas lebih 60 tahun mengemudi negara.

Keputusan itu menyaksikan Najib terpaksa melepaskan jawatan selaku presiden Umno dan pengerusi BN.

Ia juga turut mengakibatkan perpecahan dalam BN apabila rakan komponennya bertindak keluar parti khususnya parti dari Sabah dan Sarawak.

Angkat politik Melayu, Islam

Sementara itu Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Hasan berkata, Umno perlu terus berpegang kepada agenda politik Melayu, Islam untuk kelangsungannya.

"Umno perlu mengangkat politik Melayu, Islam untuk kelangsungannya.

"Contoh paling baik adalah agenda perpaduan ummah Umno, PAS ketika ini," katanya.

Jelas Mat Hasan orang Melayu telah sekian lama berpecah akibat keegoan politik dua parti dominan itu selama ini.

Lihat Komen
ADS