Terjemahan Perbuatan menggunting tudung para pelajar kerana ia tidak mengikut peraturan sekolah adalah bertentangan dengan hak asasi mereka, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

"Perbuatan mengumpulkan pelajar terbabit dan menggunting tudung mereka adalah sama seperti menghina dan memalukan mereka," kata Pesuruhjaya Suhakam, Dr Chiam Heng Keng dalam satu kenyatan hari ini.

Beliau menegaskan demikian sebagai mengulas perbuatan tiga orang guru wanita di SMK Teluk Sentang di Kuala Krau, Pahang yang bertindak menggunting tudung 65 pelajar perempuan sekolah berkenaan.

Menjadi contoh

Dr Chiam berkata, tanggungjawab asas para guru bukan sahaja untuk menyediakan suasana terbaik untuk membantu para pelajar memperkembangkan potensi mereka, tetapi juga melindungi dan menegakkan maruah dan martabat setiap kanak-kanak.

"Kita gagal untuk memahami bagaimana guru-guru ini merasakan perbuatan menghina pelajar berusia 14, 15 dan 16 tahun ini sebagai satu cara terbaik untuk mendisiplinkan mereka," tambahnya.

Berikutan itu, katanya, Suhakam menggesa Kementerian Pendirikan supaya memastikan guru-guru terbabit menghormati hak setiap pelajar mereka.

Para guru, tambahnya, patut menegak hak asasi yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Para guru menjadi "contoh" kepada para pelajar dan mereka tidak seharusnya melakukan perbuatan yang boleh menghina pelajar jika mereka mahu mereka melayan orang lain dengan hormat serta menjaga martabat orang lain.

"Hak kanak-kanak adalah hak asasi manusia dan oleh itu ia menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan martabat kanak-kanak dilindungi sepanjang masa, dalam semua keadaan," katanya.

Pilihan peribadi

Badan bukan kerajaan (NGO) Sistem in Islam juga melahirkan rasa kecewanya terhadap kejadian tersebut.

Katanya, ia menentang sebarang percubaan oleh mana-mana kerajaan, institusi awam atau sektor swasta untuk memaksa sesiapa sahaja menutup atau membuku tudung mereka.

SIS juga menyebut satu lagi kejadian di mana seorang kakitangan sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur, dilarang memakai tudung.

"SIS berpendirian, pilihan peribadi mana-mana gadis atau wanita, mesti dihormati dan mereka tidak sepatutnya diberi layanan yang buruk atau dikenakan sebarang hukuman.

"Malah, di kalangan umat Islam yang memilih untuk memakai tudung pun, gayanya berbeza dan ia tidak boleh dianggap sebagai mencerminkan tahap kewarakan mereka," katanya. Berita asal