Persembahan Mak Yong di tempat rahsia di Ktan
Persembahan Mak Yong yang diharamkan oleh Kerajaan PAS Kelantan, telah berlangsung di satu tempat rahsia malam tadi khusus untuk kajian sekumpulan pelajar dari Kolej Universiti Sunway.
Persembahan Mak Yong yang diharamkan oleh Kerajaan PAS Kelantan, telah berlangsung di satu tempat rahsia malam tadi khusus untuk kajian sekumpulan pelajar dari Kolej Universiti Sunway.
Persembahan oleh Kumpulan Warisan Seri Temenggung II itu, berlangsung selama sejam di tempat rahsia itu, mulai jam 9.45 malam, atas permintaan seorang penggiat seni Mak Yong – Saari Abdullah.
Ahad lalu, Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) telah membatalkan persembahan itu yang dijadualkan diadakan di rumah Saari di Pengkalan Chepa, setelah terdapat pengedaran risalah yang ia akan diadakan di tempat terbuka.
Sejak memerintah Kelantan pada 1990, kerajaan negeri pimpinan PAS mengharamkan Mak Yong, Menora, Wayang Kulit, Dikir Barat dan Main Puteri, dengan alasan persembahan tersebut mengandungi unsur yang bertentangan dengan Islam.
Menurut laporan Bernama, kerajaan negeri bagaimanapun membenarkan ia dimainkan di tempat tertutup.
‘Perkembang seni’
"Niat saya hanya mahu mempersembahkan seni Mak Yong ini kepada pelajar. Saya tak jual tiketpun untuk mereka menyaksikan persembahan kami dan atas niat untuk memperkembangkan seni ini, saya bersedia hadapi apa jua tindakan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas persembahan itu malam tadi.
Persembahan malam tadi dijayakan oleh Saari dan kumpulannya yang terdiri daripada lapan pelakon termasuk isterinya Rohani Mohd Zain. Saari adalah adik ipar primadona Mak Yong, Allahyarham Khatijah Awang.
Ia disaksikan ketua Sekolah Persembahan dan Media Kolej Universiti Sunway, Ray Bueno, serta 11 pelajarnya.
"Persembahan sungguh hebat dan menghiburkan," kata Bueno.

