Najib Razak menjawab kenyataan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang menyifatkan kekalahan pembangkang dalam pilihan raya kecil (PRK) Sandakan sebagai "pukulan mati" atau knocked out buat bekas perdana menteri itu.

Mengungkit kemenangan BN dalam PRK sebelum ini, Najib berkata dia hanya berkempen selama setengah hari di Sandakan berbanding Lim yang berkempen lebih lama.

"Tak ada seorang pun dari BN yang angkuh sehingga menuduh bahawa semua kekalahan PH ini melambangkan pukulan-pukulan mati untuk Kit Siang," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Ahli parlimen Pekan itu juga mempersoalkan sama ada kejatuhan pasaran saham boleh dianggap pukulan mati untuk anak Kit Siang, yang juga merupakan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

"Dengan logik yang sama, pasaran saham yang sudahpun diberi gelaran paling corot dalam dunia telah jatuh lagi pada minggu lepas kepada tahap paling rendah sejak 3 1/2 tahun dahulu.

"Adakah ini juga melambangkan pukulan mati kepada anak Kit Siang? Dah knockout ke belum? Berapa kali sudah kena pukulan?" katanya.

Najib berkata PBS dan BN akan mengambil iktibar dari kekalahan di PRK Sandakan untuk memperbetulkan segala kelemahan.

"Tetapi apa yang pasti ialah semangat perjuangan kita tidak akan padam," katanya.

Semalam, calon DAP Vivian Wong mempertahankan kerusi parlimen Sandakan dengan 11,521 majoriti undi, mengalahkan calon PBS Linda Tsen dan tiga calon bebas lain.

Tsen hanya mampu meraih 4,491 undi.