Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aliya teruja jalani Ramadan pertama sebagai saudara baru

Ramadan kali ini merupakan detik yang paling dinanti-nanti oleh Aliya Dela Cruz kerana dia mula berpuasa buat pertama kali.

Wanita asal Filipina yang bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia sejak lapan tahun lalu itu memeluk Islam pada Mac tahun ini.

Mengakui pernah cuba belajar berpuasa sebelum ini, Aliya berharap dapat menunaikan ibadah Ramadan dengan baik.

“Saya teruja berpuasa, saya pernah cuba berpuasa sebelum ini selama seminggu, saya rasa agak susah sebab tak pernah buat dan selepas beberapa hari saya dah boleh sesuaikan diri,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini di Masjid Negara, baru-baru ini.

Pada 2017 Malaysiakini pernah melaporkan kisah Maria Pagoh, seorang wanita yang memeluk Islam setelah dipertemukan dengan pasangan hidupnya, Aman Ullah dari Bangladesh.

Maria dan Aliya merupakan rakan serumah yang kini sama-sama menetap di Puchong, Selangor.

Aliya yang sebelum ini merupakan penganut Katolik berkata, sepanjang tinggal serumah dengan Maria, dia memerhatikan kehidupan baru teman rapatnya itu.

“Dari situlah, bertahun-tahun kami tinggal bersama, saya lihat dia gembira dengan kehidupannya dan satu hari saya bangun pagi, saya nyatakan yang saya nak memeluk agama Islam.

“Selepas itu saya rasa seperti baru dilahirkan semula, saya tak tahu bagaimana mahu gambarkan perasaan betapa saya lega, rasa nak menangis, gembira dan bersyukur kerana sudah memeluk Islam,” katanya dengan nada bersemangat sambil tersenyum.

Aliya mengucap dua kalimah syahadah di Masjid Shah Alam pada Mac lalu di bawah kelolaan Islamic Outreach ABIM Center (IOAC).

Mengakui keluarganya agak terkejut dengan keputusan itu, Aliya tetap bersyukur kerana akhinya mereka menerima pilihan hidupnya dengan baik.

Ditanya cabaran terbesar sesudah memeluk Islam, Aliya berkata dia sentiasa berfikir cara untuk menjadi seorang muslimah yang baik.

“Saya banyak belajar ikut juga kelas pengajian anjuran IOAC untuk mualaf tapi tak cukup. Kalau saya nak belajar agama, saya akan tanya Maria atau saya buka Youtube terlebih dahulu.

“Jika saya rasa jalan itu sukar, saya akan membaca banyak kali sehingga saya faham sebelum saya solat atau ibadah,” katanya.

IOAC turut menganjurkan kelas pendidikan Islam buat saudara baru di Masjid Negara di Kuala Lumpur.


Nota editor: Tulisan ini bahagian pertama daripada siri kisah perjalanan rohani memeluk Islam yang disiarkan Malaysiakini sempena Ramadan 2019. Jika anda mempunyai kisah menarik atau pandangan untuk dikongsi, sila hubungi wartawan kami Anne Muhammad melalui e-mel [email protected]

Lihat Komen
ADS