DAP hari ini menyarankan supaya keuntungan Petronas diagihkan kepada rakyat bagi mengurangkan beban kewangan mereka, terutama yang berdepan dengan kenaikan kos hidup akibat kenaikan harga dan kadar inflasi, berikutan kenaikan harga minyak.

"Sekiranya kerajaan tidak bersedia memberi kenaikan gaji untuk membantu mengurangkan beban hidup mereka, maka pengagihan keuntungan Petronas adalah satu-atu langkah yang paling adil kerana rakyat berhak menikmati hasil daripada sumber semulajadi negara," kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menurutnya, keuntungan Petronas sekurang-kurangnya RM35.5 bilion bagi tahun kewangan 2004-2006 akan membolehkan setiap rakyat Malaysia menikmati RM1,500 setahun.

"Jumlah keuntungan RM35.5 bilion itu tidak termasuk RM31.2 bilion dibayar kepada kerajaan dalam bentuk cukai dan bayaran royalti.

"Bagi tahun kewangan terkini 2005-2006, Petronas dijangka menambah keuntungannya kepada hampir RM50 bilion, (jika diagihkan) membolehkan setiap rakyat Malaysia memperolehi hampir RM2,000 seorang (setahun)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, DAP percaya rakyat Malaysia lebih suka berkongsi keuntungan Petronas daripada "melihat berbilion-bilion ringgit dibazirkan dan penyalahgunaan kuasa".

Jana kepercayaan rakyat

DAP juga melahirkan rasa kecewannya terhadap cara dan waktu pengumuman kenaikan harga minya dibuat kira-kira jam 10.30 malam tadi, yang menurut Guan Eng, tidak memberi peluang kepada orang ramai untuk mengisi minyak sebelum kenaikan baru itu berkuatkuasa.

Katanya, cara pengurusan kerajaan mestilah menjana kepercayaan bahawa ia dilakukan demi kebaikan dan faedah rakyat.

"Pendekatan berahsia seumpama itu tidak melahirkan kepercayaan dan keyakinan terhadap cara kerajaan mengendalikan ekonomi untuk faedah mereka (rakyat), tetapi sebaliknya menimbulkan kecurigaan yng ianya lebih mementing syarikat-syarikat minyak supaya menikmati kenaikan harga tersebut," katanya.

Sambil mengecam kenaikan 30 sen harga barangan petroleum hari ini diesel naik 23 peratus kepada RM1.58 selitar dan petrol naik 19 peratus kepada RM1.92 selitar di Semenanjung Malaysia Guan Eng menyifatkannya sebagai tindakan yang tidak prihatin terhadap beban kewangan rakyat Malaysia, termasuk pekerja, golongan berpendapat rendah dan peniaga kecil.

"Dengan kenaikan harga petrol dan peningkatan kadar inflasi, bagaimana mereka hendak menampung hidup apabila gaji mereka tidak naik," soal setiausaha agung DAP itu.

DAP juga menolak penjelasan Pejabat Perdana bahawa wang yang dijimatkan berikutan kenaikan harga barangan petroleum itu, akan digunakan untuk membiayai pembangunan projek dan memperbaiki lagi sistem pengangkutan untuk faedah rakyat.

Menurut penjelasan itu lagi, kata Guan Eng, kerajaan kerugian RM15.26 bilion tahun lalu dalam bentuk subsidi yang dibiayainya berjumlah RM7.41 bilion dan pengecualian cukai jualan sebanyak RM7.85 bilion.

Biayai pembangunan

"Amat jelas kenaikan terbaru 30 sen itu akan menampung kesemua subsidi yang ditanggung oleh kerajaan sebanyak RM7.41 bilion. Adakah rakyat boleh mempercayai penjelasan Pejabat Perdana Menteri bahawa RM7.41 bilion yang dijimatkan itu, akan digunakan untuk membiayai projek pembangunan dan memperbaiki sistem pengangkutan?

"Jika demikianlah, apa jadi dengan wang berbilion-bilion ringgit yang dijimatkan sejak dua tahun lalu apabla harga diesel dan petrol dinaikkan kepada hampir 50 peratus? DAP tidak nampak wang berbilion-bilion ringgit yang dijimatkan itu, (digunakan) membiayai projek pembangunan atau sistem pengangkutan," katanya.

Guan Eng juga mempersoalkan mengapa kerajaan menaikkan harga petrol sebanyak 20 peratus atau 30 sen selitar apabila harga minyak mentah di pasaran antarabangsa jatuh RM2 setong semalam kepada AS$61?

"Biasanya, harga petroleum dinaikkan apabila harga minyak mentah juga meningkat, tetapi kreajaan mesti mempunyai alasan yang munasabah untuk berbuat demikian, apabila harga minyak mentah meningkat.

"Ini menimbulkan persoalan mengenai peranan kerajaan antara kepentingan syarikat petroleum seperti Petronas dan kepentingan rakyat. Berikutan kenaikan harga ini, maka peranan Petronas dan bagaimana ia menggunakan keuntungan yang diperolehinya untuk faedah rakyat, menjadi satu persoalan penting.

"DAP mengulangi pendiriannya bahawa Petronas adalah milik rakyat Malaysia, rakyat malaysia berhak untuk menikmati faedah daripada sumber kita dan hasil minyai Petronas," katanya.