Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mazlan Mansor dilantik timbalan ketua polis negara
Diterbitkan:  May 13, 2019 12:50 PM
Dikemaskini: 6:43 AM

Mazlan Mansor dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baru berkuatkuasa 9 Mei, umum Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin hari ini.

Mazlan, yang sebelum ini merupakan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, mengisi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara yang hampir dua bulan kosong berikutan persaraan penyandangnya, Noor Rashid Ibrahim pada 17 Mac lepas.

Surat pelantikan kepada Mazlan, 58 diserahkan oleh Muhyiddin pada satu majlis di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Negara baru Abdul Hamid Bador.

Pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan diangkat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, kata Muhyiddin dalam sidang media hari ini, yang turut menyuarakan keyakinan dan kepercayaan berdasarkan pengalaman Mazlan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kita harap pasukan polis mempunyai kepimpinan yang bagus dan tingkatkan keyakinan orang ramai terhadap apa yang dilakukan PDRM dalam meningkatkan kecekapan dan perkhidmatan, serta mengangkat martabat PDRM sebagai agensi penguatkuasaan yang disegani dan dihormati," kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata Kementerian Dalam Negeri dan PDRM akan bersama menangani apa-apa perkara berkaitan isu keselamatan dalam negeri, bukan setakat menguatkuasa undang-undang tetapi menentukan pelaksanaan itu dilaksanakan dengan bijaksana dan berperkemanusiaan.

Mazlan sepanjang perkhidmatan dalam pasukan polis telah memegang pelbagai jawatan di peringkat daerah, negeri dan Ibu Pejabat Bukit Aman.

Antara jawatan yang pernah disandang Mazlan ialah ketua bahagian siasatan jenayah daerah Ipoh, ketua polis negeri Melaka, ketua bahagian siasatan Selangor dan ketua polis Selangor.

- Bernama

Lihat Komen
ADS