Peneroka Felcra mohon suntikan dana k'jaan sebelum raya
Wakil peneroka Felcra Berhad memohon kepada kerajaan menyuntik dana RM930 juta bagi membantu menyelesaikan masalah mereka yang semakin parah.
Menurut Pengerusi Majlis Anggota Parlimen Pakatan Harapan Johari Abdul, suntikan dana itu bagi dua tujuan iaitu RM80 juta untuk bayaran bantuan sara hidup kepada 21,519 daripada 120,000 peserta Felcra yang tertunggak sejak Ogos 2018 sehingga April 2019.
Katanya lagi, RM850 juta pula merupakan bayaran tunggakan kepada kontraktor, dividen dan koperasi.
“Saya melihat isu yang boleh dilihat iaitu salah urus tadbir.
“Mereka (peneroka Felcra) menderita kerana tak tahu ada salah laku pengurusan di pihak atasan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
Katanya lagi, pada 2011 Felcra mempunyai aliran tunai sebanyak RM3 bilion. Namun, pada Jun 2018 jumlah tersebut berkurangan menjadi RM300,000.
Johari mendakwa wang tersebut telah dibazirkan kepada projek-projek dan program yang tidak diperlukan sewaktu pentadbiran BN sebelum ini menyebabkan aliran tunainya merosot sedemikian.
Beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat ke mana aliran tunai tersebut dibelanjakan dan seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya.
Beliau berkata demikian selepas menerima aduan daripada tiga wakil peneroka Felcra yang turut hadir dalam sidang media itu.
Tiada persiapan hari raya
Usaili Alias yang merupakan salah seorang wakil peneroka dari Felcra Gelung Pepuyu di Bota, Perak berkata, terdapat peserta Felcra yang terpaksa hidup tanpa bekalan air dan elektrik kerana tidak mampu meneruskan kelangsungan hidup.
“Dividen mereka dari Ogos 2018 sehingga hari ini masih belum nampak, apatah lagi menjelang Aidilfitri.
“Kami harap Felcra tidak dianaktirikan. Kalau boleh dapat (bantuan) sebelum hari Raya sebab keperluan kewangan begitu mendesak,” katanya.
Katanya, sekiranya kerajaan mampu memberikan suntikan kepada Felda dan Tabung Haji, kerajaan sewajarnya mampu melakukan perkara yang sama terhadap Felcra juga.
Pengerusi Koperasi Peserta Felcra Rosli Ismail pula berkata, kebanyakan peneroka Felcra terdiri daripada warga emas yang tidak mampu lagi mengusahakan tanah mereka.
“Mereka dah tua dan tak berdaya nak bekerja bukan malas. Kita persoalkan salah urus tadbir ke mana duit itu pergi, atas kertas ada, realitinya tak ada.
“Umur 83 tahun datang kat kita tanya ‘bila akan dapat duit.’ Macam mana kita nak jawab?,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Felcra Malaysia Mohd Nazri Rosli pula berkata projek dan program yang dilakukan Felcra beberapa tahun lalu menyaksikan pembaziran yang amat besar.
Salah satunya merupakan Program Kesejahteraan Rakyat yang memakan kos RM26.72 juta untuk persiapan pilihan raya lalu.
“Yang makan belanja agak besar, isu itu telah saya bangkitkan. Yang banyak keluar belanja tapi tiada hasil.
“Felcra FC pula, pemain bukan anak peserta (Felcra), semua orang luar,” katanya.
Katanya, satu memorandum mengenai masalah yang dihadapi telah dihantar kepada menteri luar bandar dan wilayah sewaktu pentadbiran terdahulu, namun tiada sebarang maklum balas yang diterima.
Antara perbelanjaan yang memakan dana Fekcra adalah projek gudang di Bangi berjumlah RM1.5 juta, Program Kesejahteraan Rakyat berkos RM26.72 juta pada 2017 dan perbelanjaan Felcra FC sebanyak RM27 juta dari 2014 hingga 2018.

