Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat swasta bergelar 'Datuk' bersama seorang wanita yang merupakan ketua pegawai kewangan (CFO) syarikat terbabit, kata sumber.

Menurut sumber lagi, kedua-dua individu itu ditahan kerana disyaki menerima rasuah berkaitan projek pembekalan peralatan kenderaan milik agensi pertahanan negara berjumlah lebih RM17 juta.

Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Khamis setelah SPRM mengemukakan permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Selanjutnya, kata sumber lagi, suspek lelaki berusia 45 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10 malam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya manakala wanita berusia 53 tahun itu pula ditahan kira-kira pukul 11.50 malam di lokasi sama ketika hadir memberi keterangan, semalam.

Sumber berkata, kedua-dua suspek disyaki menerima wang rasuah berjumlah ratusan ribu daripada beberapa syarikat, berkaitan penganugerahan projek pembekalan peralatan kereta perisai Deftech AV8 Gempita dan ACV-300 Adnan sekitar 2014 sehingga 2017.

Gempita merupakan kereta perisai lapan roda yang terdapat dalam beberapa varian, dan terutamanya berfungsi sebagai kenderaan kenderaan berperisai pelbagai fungsi amfibia atau kenderaan tempur infantri Angkatan Tentera Malaysia. Ia dilaporkan mula digunakan pada Disember 2014.

ACV-300 juga merupakan salah satu kenderaan berperisai.

Kedua-dua kenderaan berperisai ini dikeluarkan oleh DRB-Hicom Defense Technologies Sdn Bhd di Pekan, dengan kerjasama syarikat pertahanan Turki, FNSS. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Menurut beliau, SPRM turut menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM100,000 serta dokumen-dokumen berkaitan projek tersebut.

Dalam pada itu, katanya, beberapa saksi juga telah dipanggil hari ini dan tidak menolak kemungkinan terdapat lebih ramai lagi akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM.