Pelajar di AS dan Pakistan belum perlu balik
Kerajaan masih belum memutuskan untuk membawa pulang pelajar Malaysia yang berada di Amerika Syarikat (AS) dan Pakistan, kata Pengarah di Jabatan Pendidikan Tinggi, hari ini.
"Kementerian Pendidikan setakat ini belum membuat apa-apa keputusan untuk membawa balik pelajar negara ini yang berada di sana (AS dan Pakistan)," kata Profesor Dr Hassan Said.
Menurutnya sehingga kini, pihak Pejabat Pelajar Malaysia di Luar Negara (MSD) sentiasa memantau keadaan pelajar Malaysia yang berada di AS bagi memastikan mereka berada dalam keadaan selamat.
"Kita (kementerian) sentiasa berhubung dengan pegawai kita dan kedutaan di sana (AS). Setakat ini tiada aduan mengenai kecederaan atau kemalangan yang melibatkan diskriminasi (anti Islam) yang diterima," katanya.
Beliau memberitahu perkara ini semasa ditemui di Seminar Peraturan Tatatertib Pelajar anjuran kementerian itu di Kuala Lumpur, pagi tadi.
Kira-kira 8,000 pelajar negara ini sedang menuntut di AS. Kebanyakan menuntut di universiti yang terletak di bandar-bandar besar seperti Boston, Chicago, Washington DC dan Los Angeles.
Menurutnya MSD dan pihak kedutaan di AS telah menasihatkan pelajar agar sentiasa berhati-hati terutama mereka yang memakai tudung dan juga untuk tidak memberi sebarang ulasan kepada rakyat asing tentang apa yang telah berlaku di negara itu sebagai langkah berjaga-jaga.
Keselamatan di pantau
Beliau berkata pihaknya telah meminta semua pengarah MSD untuk sentiasa berhubung dengan pelajar dan pihak universiti mereka untuk memantau keselamatan mereka.
"Setakat ini beberapa universiti di AS telah memberikan kerjasama yang baik dan kita (pihak kementerian) dapat jaminan dari mereka untuk memantau keadaan dan beri perlindungan kepada pelajar kita," jelasnya.
Beliau juga meminta agar semua ibu bapa yang mempunyai anak yang sedang belajar di negara-negara itu untuk tidak berasa risau kerana setakat ini kementerian dapat memastikan mereka selamat.
Beliau menambah, perkara yang menyukarkan pemantauan pihak kementeriannya terhadap pelajar di dua buah negara ini ialah berhubung dengan pelajar persendirian di sana.
"Pelajar yang berdaftar dengan MSD senang dihubungi tetapi yang tidak (mendaftar dan persendirian) agak sukar terutama untuk berhubung secara terus," katanya.
Selain itu, Hassan berkata kebanyakan pelajar negara ini yang berada di Pakistan adalah pelajar persendirian dan tajaan organisasi tertentu.
Kerajaan dua hari lalu dilaporkan tidak menolak kemungkinan untuk membawa pulang 8,000 pelajar negara ini yang menuntut di seluruh Amerika Syarikat.
Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Hon Choon Kim dalam satu laporan Utusan Malaysia berkata kerajaan akan mengambil langkah tersebut jika keadaan keselamatan di negara itu membimbangkan ekoran kejadian serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia di Bandaraya New York, Selasa lepas.

