Polis Johor berjaya menyelesaikan beberapa kes pemerasan pemaju tapak projek perumahan dan perkilangan dengan tertangkapnya enam anggota kumpulan kongsi gelap “04 Kluang” di Johor.

Timbalan Ketua Polis Johor Mohd Kamarudin Md Din berkata penahanan keenam-enam lelaki tempatan berusia antara 23 dan 35 tahun di sekitar kawasan Kluang itu turut dapat membantu polis dalam menyelesaikan empat kes jenayah kekerasan yang mengakibatkan cedera parah, pergaduhan dan kes khianat.

“Polis telah merampas masing-masing dua bilah parang dan pedang samurai, lapan telefon bimbit dan sebuah kereta jenis Mitsubishi Triton daripada suspek.

"Siasatan awal mendapati keenam-enam mereka adalah anggota kumpulan kongsi gelap 04 Kluang dan bergiat aktif dalam kegiatan pemerasan serta merekrut anggota-anggota baru bagi menyertai geng berkenaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata kesemua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 326 dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah dan memeras ugut serta Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959.

Katanya orang ramai dan pemaju tapak projek diminta agar tampil memberikan maklumat dan aduan sekiranya terdapat insiden pemerasan berlaku ke atas mereka, dan maklumat boleh disalurkan dengan menelefon Hotline 013-6052467.

-Bernama