Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

LANGSUNG | Perbicaraan kes membabitkan Najib Razak masuk hari ke-16 hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Malaysiakini membawakan laporan langsung perbicaraan berprofil tinggi itu di sini.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram
  • Klik untuk perincian lanjut hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan

DPP: Soalan peguam bersifat terkaan

3.05 petang: Timbalan Pendakwa Raya (DPP) V Sithambaran membantah soalan peguam Harvinderjit Singh terhadap Azlida, berkenaan sama ada sukar untuk menentukan bagaimana SRC International menggunakan wang pinjaman daripada KWAP kerana ia bercampur dengan wang dari sumber lain.

Sithambaran berkata soalan peguam itu bersifat terkaan (conjecture).

Harvinderjit: Misalnya, katakan wang pinjaman dari KWAP tak boleh diguna untuk tanggungjawab sosial korporat (SRC), tetapi untuk memutuskannya, pertamanya perlu membezakan wang tersebut dari sumber (lain).

Jika wang bercampur, sukar untuk pastikan.

Sithambaran: Ini soalan perundangan.

Harvinderjit: Ini ialah saksi perundangan, boleh beri pandangan perundangan.

Sithambaran: Sama ada wang bercampur atau tidak, ialah terkaan (conjecture).

Walaupun hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak kedengaran berkata apa-apa, Harvinderjit dilihat cuba mengungkapkan semula soalannya.

Antara tuduhan yang dihadapi Najib ialah pengubahan wang haram, melibatkan pemindahan RM42 juta dana SRC International kepada sejumlah entiti.


Saksi tak dengar sendiri permintaan Najib

2.25 petang: Azlida mengaku dia tidak hadir sendiri ketika Najib dikatakan menyampaikan hasrat agar KWAP mempercepat permohonan pinjaman RM2 bilion kepada SRC International.

Saksi ke-35 yang merupakan naib presiden (undang-undang) KWAP itu berkata demkian ketika pemeriksaan balas dengan peguam Najib, Harvinderjit Singh.

Harvinderjit: Anda tiada ketika (berlakunya) komunikasi (oleh Najib kepada pengerusi KWAP ketika itu, Wan Abdul Aziz Wan Abdullah)?

Azlida: Ya.

Harvinderjit: Sebarang (dakwaan) komunikasi berdasarkan laporan CEO KWAP (ketika mesyuarat panel pelaburan khas)?

Azlida: Ya.

Terdahulu, Saksi berkata CEO KWAP ketika itu Azian Mohd Moh memaklumkan kepada panel ketika mesyuarat pada 19 Julai 2011 berkenaan dakwaan gesaan Najib kepada Wan Abdul Aziz.


Perbicaraan bersambung

1.58 tengah hari: Perbicaraan bersambung di depan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.


1.08 tengah hari: Mahkamah berhenti berehat dan akan bersambung semula pada jam 1.40 tengah hari untuk soal balas lanjut peguam Najib terhadap saksi ke-35 Azlida Mazni Arshad.


12.50 tengah hari: Azlida berkata nota tulisan tangan Najib dalam surat kepada KWAP berkaitan permohonan pinjaman SRC hanya permintaan, bukan arahan.

Dia juga bersetuju dengan peguam bela Harvinderjit Singh bahawa jabatan pendapatan tetap KWAP faham nota tersebut bukanlah arahan.

Katanya, itulah sebabnya jabatan itu mengesyorkan pinjaman sebanyak RM1 bilion saja diberikan kepada SRC International, bukan RM3.95 bilion seperti yang dipohon syarikat itu.

Pada 2 Mei, seorang lagi pekerja KWAP, Amirul Amran memberi keterangan bahawa Najib membayangkan persetujuannya dengan permohonan pinjaman oleh SRC International melalui nota tulisan tangan.

Surat tersebut ialah permohonan SRC International untuk mendapat pinjaman RM3.95 bilion daripada KWAP sebagai mdodal pusingan dan pelaburan umum (unrestricted general investment).


12.45 tengah hari: Azlida berkata minit mesyuarat panel pelaburan KWAP tidak menunjukkan mereka dipaksa oleh Najib sebagai perdana menteri untuk meluluskan pinjaman RM4 bilion kepada SRC International.


Pelaburan KWAP tak perlu kelulusan menteri - saksi

12.25 tengah hari: Saksi Azlida Mazni Arshad berkata panel pelaburan KWAP tidak terikat dengan arahan seseorang atau satu badan dalam urusannya.

Semasa soal balas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh, saksi ke-35 itu bersetuju dengan soalan peguam berkaitan perkara itu.

Harvinderjit: Panel pelaburan tidak dapat meluluskan pinjaman yang syarat-syaratnya tidak mengunduntung kepada dana ini?

Azlida: Ya.

Harvinderjit: Jika tidak mereka melakukan kesalahan yang mereka akan berdepan denda RM2 bilion atau penjara maksimum 10 hari. Setia anggota panel pelaburan terikat dengan ini?

Azlida: Ya.

Ditanya sama ada panel tidak perlu mendapatkan kebenaran menteri, dia mengakuinya.


10.40 pagi: Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 6 Januari tahun depan untuk perbicaraan hari pertama untuk kes dakwaan pecah amanah jenayah Najib dan bekas setiausaha perbendaharaan Irwan Serigar berjumlah RM6.64 bilion.

Mohd Nazlan menetapkan tarikh itu ketika sebutan kes di hadapannya hari ini.

Tarikh-tarikh lain perbicaraan ialah 7 hingga 9 Jan, 20 hingga 23 dan 27 hingga 30 Jan, diikuti 3-6, 10-13,17-20, 24-27 Feb, 2-5, 9-12 Mac serta 6-9, 13-16, 20-23, 27-30 April.

Selepas prosiding ini, perbicaraan Najib dalam kes SRC SRC International bermula.


Sebutan kes Shafee selesai

10.30 pagi: Najib dan Shafee masuk ke mahkamah.

Peguam senior itu baru saja selesai menghadiri sebutan kes pengubahan wang haramnya sendiri di depan hakim Collin Lawrence Sequerah.

Beliau dan pasukan pembelaan lain dilihat membuat persediaan di bahagian depan mahkamah, sementara menunggu prosiding bermula.

Peguam Negara Tommy Thomas juga dilihat berada di mahkamah, bersama-sama pasukan pendakwaan.

Bagaimanapun, difahamkan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sedang menghadiri satu kes yang tidak berkaitan, sebelum meneruskan perbicaraan kes SRC International.

Najib masuk ke kandang tertuduh untuk menunggu perbicaraan bermula.


Najib keluar

10.04 pagi: Najib keluar dari mahkamah memandangkan prosiding masih belum bermula.

Shafee masih belum kelihatan kerana hadir ke kesnya sendiri di mahkamah tinggi lain


Tangguh sekejap untuk sebutan kes Shafee

9.02 pagi: Bersut hitam dengan tali leher biru, bekas perdana menteri Najib Razak masuk ke mahkamah dan duduk di barisan depan galeri awam.

Bagaimanapun ketua pasukan pembelaannya, Muhammad Shafee Abdullah perlu menghadiri sebutan kes pengubahan wang haramnya sendiri terlebih dulu di mahkamah lain di situ.

Usai sebutan kes di depan hakim Collin Lawrence Sequerah, Shafee akan ke perbicaraan kes SRC International Najib.


Perhatian hari ini akan bertumpu kepada barisan soalan yang telah disediakan pasukan pembelaan untuk pemeriksaan balas saksi ke-35 Azlida Mazni Arshad dalam perbicaraan SRC International bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ia susulan keterangan Azlida, yang merupakan Naib Presiden (Undang-undang) Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), ketika pemeriksaan utama oleh pendakwaan Khamis lalu.

Dalam keterangannya sebelum ini, Azlida memberitahu bagaimana Najib telah menggesa KWAP untuk mempercepat kelulusan pinjaman RM2 bilion kepada SRC International.

Dia juga memberitahu hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa tertuduh membuat permintaan itu melalui pengerusi KWAP ketika itu, Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Katanya, ia diikuti dengan taklimat oleh CEO KWAP ketika itu Azian Mohd Noh kepada panel pelaburan khas dalam mesyuarat pada 19 Julai 2011. Dia membuat minit mesyuarat itu.

Pada 2011, Najib merupakan menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

SRC International ketika itu merupakan subsidiari 1MDB. Namun pada Februari 2012 hak miliknya dipindah ke Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Keterangan sebelum ini menunjukkan syarikat itu menerima pinjaman RM4 bilion daripada KWAP. Ia dibuat sebanyak dua kali - RM2 bilion pada Ogos 2011 dan RM2 bilion lagi pada Mac 2012.

Saksi juga memberikan bukti lisan tentang bagaimana ketika mesyuarat 19 Julai 2011 itu, panel pelaburan khas setuju bahawa pinjaman RM2 bilion terlalu tinggi memandangkan syarikat itu dibuka dengan modal berbayar hanya RM2, dan pada mulanya hanya setuju untuk meluluskan pinjaman sebanyak RM1 bilion.

Lihat Komen
ADS