Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kartel dedak: Zaharudin 'teruja' nak jumpa j'kuasa disiplin
Diterbitkan:  May 14, 2019 11:15 AM
Dikemaskini: 4:14 AM

Zaharudin Muhammad berkata beliau sedia dipanggil jawatankuasa disiplin PAS berhubung dakwaannya berkenaan 'kartel dedak' dalam parti itu.

"Alhamdulillah jika jawatankuasa disiplin mula bersidang isu ini. Saya sudah tunggu peluang ini cukup lama," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam sidang media semalam, Abdul Hadi menafikan merestui tindakan Zaharudin berkenaan pendedahan yang dikisahkan secara bersiri di Facebook, dan menyifatkannya sebagai "filem lama" yang ditayangkan semula.

Bagaimanapun Zaharudin hari ini berkata restu yang dimaksudkannya ialah untuk pendedahannya sebelum ini, bukan yang mutakhir ini.

Saya tulis yang tuan guru (Hadi) restu itu berkait dengan isu lama, isu Nurul dulu. Setelah ada menghasut, saya bagi penjelasan, maka tuan guru restu dan saya tak tarik tulisan itu sampai sekarang," katanya.

Beliau dipercayai merujuk kenyataannya berkenaan exco pemuda pusat PAS Nurul Islam Mohamed Yusoff yang juga berkenaan penerimaan dana daripada Umno.

"Dalam rakaman terkini, wartawan tanya berkenaan restu presiden berkenaan pendedahan kartel dedak yang hangat sehari dua ini. Jadi sememangnya presiden nafikan sebab memang saya tak jumpa dia sejak satu minggu yang lalu," katanya lagi.

Dakwanya lagi, Abdul Hadi diberitahu tentang isu RM90 juta berkaitan Sarawak Report sedangkan apa yang dibangkitkannya tiada kaitan dengan perkara itu.

"(Apa yang saya bangkitkan hanya) isu kartel dedak dan dedak mereka."

Beliau mendakwa soal 'restu' itu telah diputar belit pasukan media yang menurutnya di bawah selian “Dr Hussam II” - salah seorang yang didakwanya anggota 'kartel dedak'.

"Spin hanya pada jurang yang kecil - isu Nurul yang lama dengan isu baru yang saya bangkitkan sehari dua ini. Sebarkan "tidak restu" atas nama Facebook dan Twitter presiden bagi melambangkan presiden bersuara dan seolah-olah saya berbohong," katanya lagi.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti itu akan memanggil Zaharudin untuk meminta penjelasan berkenaan isu itu.

Zaharudin mencuri perhatian baru-baru ini apabila bersuara berkenaan dana daripada Umno yang menurutnya diterima lima pemimpin PAS yang digelarnya sebagai 'kartel dedak'.

Beliau berkata langkah itu kerana tidak mahu melihat kepimpinan tertinggi PAS - terutama Abdul Hadi - terpalit dengan perkara itu serta terheret dengan masalah undang-undang pada masa akan datang.

 

Lihat Komen
ADS