Perang perdagangan AS-China: Bursa Malaysia dibuka rendah
Bursa Malaysia dibuka lebih rendah hari ini engan 29 saham komponen KLCI diniagakan pada paras rendah, menjejaki prestasi suram global selepas China mengumumkan cadangan mengenakan tarif lebih tinggi ke atas barangan Amerika Syarikat (AS) bernilai A$60 bilion.
Pada pukul 9.10 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 26.49 mata kepada 1,574.60 daripada 1,601.09 semasa ditutup semalam.
Indeks dibuka 20.24 mata lebih rendah pada 1,580.85.
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu sebanyak 491 berbanding 41, dengan 122 kaunter tidak berubah, 1,255 tidak diniagakan dan 24 lagi digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 306.4 juta saham bernilai RM152.02 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata perang perdagangan AS-China yang semakin memuncak telah menjejaskan sentimen pasaran dengan ekuiti global bertindak balas secara negatif terhadap perkara itu dalam tempoh semalaman.
“Memandangkan sentimen pasaran saham-saham Malaysia sudah terjejas dengan jualan asing berterusan sejak tahun lepas yang turut menyebabkan FBM KLCI mencatatkan prestasi lemah.
“Ketidaktentuan pasaran yang berterusan akan mendorong indeks utama untuk semakin merosot berikutan minat belian baharu kekal kurang memberangsangkan di tengah-tengah keadaan ekonomi yang semakin mencabar dan prospek pertumbuhan pendapatan yang perlahan,” katanya dalam nota hari ini.
Ia berkata kelemahan pasaran akan memberikan kesan lebih ketara ke atas saham barisan kedua dan pasaran saham secara menyeluruh kerana lebih banyak pemain runcit akan tidak memasuki pasaran.
Sehubungan itu, Malacca Securities berpendapat FBM KLCI masih dinilai dengan adil berikutan nisbah harga kepada pendapatan (PER) masih berada dalam julat sejarahnya, dengan itu terdapat sedikit ruang bagi pemulihan kukuh.
Dalam perkembagan berkaiatan, ringgit dibuka rendah berbanding dolar US pada sesi dagangan awal hari ini berikutan pelabur tidak memasuki pasaran sementara menunggu dasar lebih kukuh oleh kerajaan dalam menghadapi kelembapan ekonomi global.
Pada 9 pagi, mata wang tempatan dibuka pada 4.1670/1700 berbanding dolar US daripada 4.1620/1670 semasa ditutup pada Isnin.
Seorang peniaga berkata, penganalisis meramalkan angka pada suku pertama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang bakal diumumkan Khamis ini akan menunjukkan penurunan, dengan kadar pengangguran mencapai tahap tertinggi sejak Januari 2017.
Maybank IB Research dalam nota hari ini berkata kadar pengangguran pada Mac 2019 meningkat sedikit kepada 3.4 peratus selepas kekal pada 3.3 peratus selama enam bulan berturut-turut sehingga Februari 2019, walaupun pertumbuhan pekerjaan sepadan dengan pertumbuhan tenaga kerja.
“Pekerjaan dan dan tenaga kerja berkembang +2.1 peratus tahun ke tahun (y-o-y) pada Mac 2019 masing-masing kepada 15.0 juta dan 15.6 juta, mengekalkan kadar pada Februari 2019, manakala jumlah penganggur meningkat +2.5 peratus y-o-y kepada 521,300 pada Mac 2019 berbanding +1.6 peratus y-o-y pada Februari, sekali gus meningkatkan kadar pengangguran (Mac 2019: 3.4 peratus; Feb 2019: 3.3 peratus y-o-y).
Peniaga itu juga berkata langkah proaktif perlu diambil untuk memastikan kesan negatif daripada perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang semakin memuncak itu dapat dibendung.
“Apabila ketegangan meningkat, perniagaan dan perdagangan akan terjejas teruk. Bagaimanapun, senario itu juga akan menjadikan syarikat AS dan China mengkaji semula operasinya dan Malaysia mempunyai keupayaan dari segi untuk menarik perniagaan berkenaan,” katanya.
Semalam, Beijing mengumumkan pihaknya akan mengenakan tarif ke atas barangan AS bernilai US$60 bilion mulai 1 Jun, sebagai tindak balas terhadap langkah Washington yang lebih awal menaikkan tarif ke atas barangan China bernilai US$200 bilion.

Sementara itu, ringgit didagangkan rendah berbanding kebanyakan mata wang utama lain.
Mata wang tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0440/0467 daripada 3.0435/0483 semalam dan menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.8083/8120 daripada 3.7943/7996.
Ringgit bagaimanapun meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4021/4081 daripada 5.4189/4263 dan susut berbanding euro kepada 4.6812/6862 daripada 4.6768/6837 semalam.
- Bernama





