Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saham DRB-Hicom jatuh selepas SPRM siasat Deftech
Diterbitkan:  May 14, 2019 11:54 AM
Dikemaskini: 3:54 AM

Saham DRB-Hicom Bhd diniagakan rendah pagi ini selepas anak syarikatnya Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech) disahkan sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada jam 9.44 pagi, sahamnya jatuh enam sen atau tiga peratus kepada RM1.95.

Deftech, yang merupakan syarikat 100 peratus milik DRB-Hicom, antara lain membuat, memasang dan membekalkan kenderaan tentera dan komersial.

Susulan penyiasatan itu, AmBank Research hari ini menurunkan gred DRB-Hicom kepada “underweight” daripada “hold” dengan nilai adil lebih rendah pada RM1.74, berdasarkan kadar diskaun lebih tinggi sebanyak 30 peratus berdasarkan kaedah penilaian jumlah bahagian daripada 20 peratus sebelumnya.

Penurunan gred itu disebabkan wujud potensi sentimen negatif yang timbul daripada penahanan eksekutif kumpulan itu oleh SPRM dan ketidakpastian dengan keupayaan kumpulan untuk mendapatkan kontrak kerajaan di masa depan.

Semalam, SPRM menahan ketua pegawai eksekutif dan ketua pegawai kewangan syarikat itu kerana disyaki terbabit rasuah berkaitan projek pembekalan peralatan kenderaan tentera bernilai RM17 juta.

Kedua-duanya disyaki menerima rasuah berjumlah ratusan ribu daripada beberapa syarikat bagi pembekalan peralatan untuk kereta perisai AV8 dan Adnan antara 2015 dan 2017.

SPRM turut merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM100,000 dan dokumen berkaitan projek itu.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS