Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Razak bagi contoh tulisan tangan, catat Amina, Hotel Malaya'

Asisten Superintendan (ASP) Ahmad Abu Bakar memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini beliau mengambil sampel tulisan tangan penganalisis politik Abdul Razak Baginda ketika menyiasat kematian model Mongolia ALtantuya pada 2006.

Abdul Razak yang ketika itu ditahan di Bukit Aman, diminta menuliskan beberapa perkataan termasuklah Amina, Hotel Malaya, Jalan Hang Lekir dan alamat rumahnya.

Ini dibuat berdasarkan sekeping kertas yang disita oleh ASP Zulkarnain, kata Ahmad memberitahu mahkamah.

Ahmad merupakan saksi ke-10 saman RM100 juta yang difailkan keluarga mendiang Altantuya terhadap Abdul Razak, kerajaan Malaysia serta dua bekas anggota Unit Tindakan Khas Polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar.

Untuk rekod, ketika perbicaraan kes jenayah pembunuhan Altantuya pada 2017, ahli kimia Wong Kong Yong mengesahkan sehelai nota yang dijumpai di dalam beg Azilah Hadri yang ditulis oleh Abdul Razak.

Bagaimanapun, mahkamah hari ini tidak diberitahu sekiranya salinan faks nota berkenaan yang didapatkan Ahmad daripada Zulkarnain merupakan nota yang disita daripada Azilah.

Ahmad yang memakai seragam PDRM menjawab soalan peguam plaintif Harshaan Zamani.

Harshaan: Peranan kamu?

Ahmad: Saya bertanggungjawab untuk mengambil contoh tulisan tangan daripada salah seorang suspek iaitu Abdul Razak Baginda.

Harshaan: Kamu tahu siapa razak baginda?

Ahmad: Beliau merupakan defendan ketiga dalam kes ini.

Harshaan: Bila kamu ambil tulisan tangan dia?

Ahmad: Pada 14.11.2006 dan 15.11.2006.

Harshaan: Siapa yang arahkan kamu?

Ahmad: DSP Gan. Saya berjumpa Razak Baginda di bilik soal siasat Bukit Aman.

Harshaan: Apa yang berlaku lepas terima arahan daripada DSP Gan?

Ahmad: Pada 14/11, jam 3 petang, atas arahan Tuan Gan, saya berjumpa ASP Zainuddin, dan maklumkan untuk dapat contoh tulisan tangan dari Razak Baginda.

Saya diberi faks salinan kertas yang dirampas ASP Zulkarnain.

(Salinan faks ditunjuk pada Ahmad)

Ada alamat rumah, Hotel Malaya, Jalan Hang Lekir, dan Amina.

Selepas saya dapat tulisan tersebut, saya berjumpa Razak Baginda pada hari yang sama untuk ambil contoh.

Beliau tanya untuk apa contoh tulisan diambil. Kemudian dia setuju.

Saya minta dia tulis apa yang saya sebutkan di atas sekeping kertas A4.

Harshaan: Berapa banyak tulisan yang diambil?

Ahmad: Nama, alamat, hotel - sebanyak dua kali di atas sekeping kertas. Lima keping kertas A4.

Selain daripada itu, beliau tandatangan setiap helai kertas tersebut.

Harshaan: Apa yang kamu buat dengan sampel pada 14/11?

Ahmad: Saya serahkan sampel tersebut pada ASP Tony di IPK Kuala Lumpur pada 17/11.

Ahmad dalam keterangannya menjelaskan sampel tulisan tangan Abdul Razak Baginda kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat kes bunuh Altantuya, ASP Tony pada 17 Novermber, 2006.

Semalam, saksi Siti Aisyah, setiausaha kepada Abdul Razak memberitahu mahkamah bahawa majikannya memberitahu beliau tidak menyuruh Azilah untuk membunuh Amina (Altantuya) tetapi cuma meminta Azilah melindungi rumah dan keluarganya.

Altantuya dipercayai dibunuh di kawasan pinggir Shah Alam pada 19 Oktober 2006 dengan mayatnya diledakkan menggunakan bahan letupan gred tentera.

Kedua-dua Sirul dan Azilah pada masa kejadian merupakan pengawal peribadi kepada timbalan perdana menteri ketika itu Najib Razak.

Sirul dan Azilah disabitkan kesalahan membunuh Altantuya, manakala Abdul Razak dibebaskan.

Pendengaran kes hari ini didengar di hadapan Hakim Vazeer Alam Mydin Meera dan akan bersambung esok pada 15 Mei 2019.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS