PAS dan Parti Keadilan Nasional (PKR) akan mengadakan protes di seluruh negara mulai Jumaat ini jika kerajan tidak mengkaji semula kenaikan harga bahan petroleum yang diumumkan semalam.

Naib Presiden PAS, Husam Musa berkata, protes itu akan dimulakan di hadapan KLCC Jumaat ini. Pada hari itu, satu memorandam akan dihantar kepada kerajaan bagi membantah kenaikan besar harga bahan api itu.

"Kami mahu harga bahan api itu dikaji semula. Kami juga mengingatkan kerajaan supaya jangan menggunakan kuasa sesuka hati," ujarnya.

Menurut Husam, rakyat terkejut dengan kenaikan besar dan waktu pengumuman itu dibuat.

"Kerajaan langsung tidak membayangkan kenaikan harga itu sebelum ini. Tidakah ini menunjukkan kerajaan yang ada, tidak mesra rakyat?" soal beliau.

Beliau juga menyatakan, tindakan terbaru ini menunjukkan kerajaan langsung tidak bercadang untuk menggunakan keuntungan besar Petronas untuk menampung kesan kenaikan harga minyak mentah dunia.

Kerajaan mengumumkan kenaikan sebanyak 20 peratus harga petrol dan diesel berkuatkuasa 12 tengah malam tadi.

Naib Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Nasional, Shamsul Iskandar Mohd Akin pula berkata, kenaikan harga bahan api ini akan melebarkan lagi jurang pendapatan di negara ini.

'Kenaikan tidak wajar'

"Kami memberi Perdana Menteri tujuh hari untuk menurunkan balik harga bahan petroleum itu. Jika kerajaan tiak berbuat apa-apa, Pemuda Keadilan akan menganjurkan protes di seluruh negara mulai 3 Mac ini bermula di hadapan KLCC," ujarnya..

Menurutnya, Pemuda Keadilan membantah keras kenaikan harga bahan api yang mendadak itu kerana ia akan menjejaskan rakyat berpendapatan sederhan dan rendah.

Katanya lagi, kenaikan itu tidak wajar kerana harga minyak mentah dunia telah menurun. Harga minyak dunia telah turun kepada AS$61 dolar setong berbanding AS$63 setong sebelum ini.

Shamsul Iskandar menambah, dengan kenaikan cukai tanah, tarif air dan kadar baru tarif eletrik bulan depan, beban rakyat akan semakin berat.

Sementara itu DAP juga meramalkan kenaikan harga minyak sebanyak 20 peratus akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara terutama dalam bidang pembangunan domestik.

Timbalan Bendahari DAP Kebanghsaan, Ong Chee Keng berkata, rakyat akan mengurangkan perbelanjaan, sekaligus menjadikan wang di pasaran tempatan kurang dan ini akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

"Kerajaan pula akan mengetatkan dasar ekonomi mereka iaitu mengurangkan projek pembangunan kerana kekurangan dana dan kelembapan permintaan dari pembeli," katanya selepas mengadakan protes secara aman membantah kenaikan harga minyak di Pendamaran, Kelang tengah hari tadi.

"Yang pastinya harga barangan dan perkhidmatan akan menjadi lebih mahal sedangkan mutunya masih di tahap lama," kata Ong lagi.