Malaysiakini BERITA

Kawalan media: Mahathir paling terbuka

Subky Latif  |  Diterbitkan

ULASAN | Semua orang menyangka pentadbiran baru Dr Mahathir Mohamad agak lunak dan liberal terhadap media.

Semakin tua perdana menteri itu dia percaya tiada mana-mana orang besar bebas daripada kritikan.

Jika peribadinya sejak dulu tidak teragak-agak memberi komen dan kritik kepada sesiapa - termasuk apa yang terjadi di antaranya dengan Tunku Abdul Rahman dalam kejadian surat peribadi mereka selepas 13 Mei 1969 dulu - maka dia juga terpaksa kebal dan tahan apa yang dikata padanya.

Pandangan peribadi saya, antara lima perdana menteri dan presiden Umno sebelum dan selepas Mahathir, dia yang paling tidak hirau atau paling tidak sensitif atas akan kesan kebebasan akhbar yang agak terhad di Malaysia.

Sekalipun pada zaman kongkongan itu ada, tetapi tekanan datang lebih daripada penyokongnya, penyokong partinya berbanding dia sendiri.

Lazimnya parti-parti pembangkang tidak diberi permit penerbitan dalam apa bentuk jua. Pembangkang terpaksa edarkan siaran haram.

Pantang kerajaan untuk memberi izin siaran kepada pembangkang.

Tetapi Mahathir memberi permit kepada PAS menerbitkan Harakah sekalipun ia untuk dalaman, tidak boleh diedar di pasaran terbuka.

Tak pernah komplen

Sekalipun tidak bebas penuh, tapi Mahathir benarkan. Sebelumnya, tidak mungkin.

Mahathir tahu Harakah diedar secara tidak sah kepada umum. Apabila ada amaran kementerian, orang PAS edar atau jual juga kepada yang bukan ahli.

Mamak pengedar sorokkan Harakah dan tetap jual kepada orang bertanya: "adakah Harakah?".

Apabila mata-mata tidak mengintip, mamak pamer Harakah secara terbuka semula.

Diminta permit terbuka tidak diluluskannya, tetapi dia tidak serius sekat siaran terhad permitnya daripada diedarkan kepada semua.

Mula-mula diizin sekali seminggu. Kerana banyak permintaan, PAS minta Harakah diterbitkan dua kali seminggu. Dibenarkannya.

Apa yang kita tidak kata terhadapnya? Kementerian Dalam Negeri (KDN) acap kali memberi amaran. Harakah tidak hiraukan.

Pernah Timbalan Menteri KDN, Megat Junid Megat Ayub sebut pada saya bahawa komen terhadap Mahathir dalam Harakah itu keterlaluan. Diingatkan Megat Junid, dia tidak mahu bertindak, tetapi kalau perdana menteri (Mahathir) komplen dia tidak dapat buat apa-apa.

Saya tanya dia, adakah perdana menteri kata apa-apa?

Jawab Megat Junid, tidak pernah. Ertinya jika ada masalah KDN, bukan daripada Mahathir tetapi pegawai dan orang yang lebih sudu dari senduk.

Abdullah Ahmad Badawi

Apabila perdana menteri itu berundur, KDN diletak terus di bawah Abdullah Ahmad Badawi yang semua orang tahu jauh lebih lembut daripada Mahathir.

Tetapi digantungnya permit Harakah daripada dua kali seminggu menjadi dua kali sebulan.

Tentu Mahathir lebih terbuka berbanding penggantinya. Apabila Najib mengambil alih, diberinya kebenaran Harakah terbit dua kali seminggu.

Hudud tiada hukum potong jari

Ertinya Mahathir lebih terbuka berbanding semua perdana menteri.

Bagaimanapun ada baiknya, cacatnya ada juga. Tunku Abdul Rahmah menulis pada setiap keluaran Sunday Star. Dia kritik sakan Abdul Razak Hussein, Hussein Onn, dan apa lagi Mahathir.

Tunku lebih nekad daripada penulis kritikal yang lain. Hilang sabar Mahathir. Digantungnya harian The Star.

Kemudian The Star diterbitkan semula tapi Tunku Abdul Rahman tidak dibenarkan menulis, dan dia tidak lagi menjadi pengerusi harian milik MCA itu.

Itu satu cacat teruknya terhadap media. Mungkin itu bukan dasar tapi isu peribadi di antara keduanya.

Dibandingkan dengan perdana menteri yang lain Mahathir terelok. Tapi keseluruhan dasar BN terhadap media memang tidak mesra.

Apabila dia memerintah kerajaan PH sekarang, kerajaannya dirasakan lebih mesra media.

Mengapa? Media bukan lagi di gedung percetakan yang memerlukan permit tahunan, tetapi ia sudah di hujung jari semua orang.

Semuanya jadi penyiar dan penerbit. Tidak mungkin kerajaan mengadakan penjara untuk hujung jari rakyatnya.

Memotong jari tidak termasuk dalam kesalahan hudud.


SUKBY LATIF ialah veteran PAS dan bekas anggota jawatankuasa pusat parti itu. Tulisan ini disiarkan lebih awal di harakahdaily.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.