Terjemahan Nanyang Press Holdings Bhd telah melantik bekas Pengarah Eksekutif Sin Chew Media Corporation Bhd executive, Gan Chin Kew, sebagai Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif baru Kumpulan Nanyang.

Pengumuman tersebut dibuat semalam dalam lamanweb Bursa Malaysia.

Sebelum ini, jawatan tersebut dipegang oleh Liew Peng Chuen, tetapi beliau tidak memperbaharui kontraknya yang sepatutnya tamat pada 27 Mei. Keputusannya itu diterima Lembaga Pengarah Nanyang Press dan beliau akan bercuti mulai esok.

Gan (foto) mengambil alih jawatan tersebut mulai 1 Jun, tetapi akan memangku jawatan tersebut bagi memastikan peralihan yang licin dan kesinambungan operasi.

Liew, 57, dilantik menganggotai Lembaga Pengarah Nanyang Press pada 28 Ogos 2001. Beliau menjadi Ketua Pengarang Kumpulan The Star dari 1983-1986. Liew adalah lulusan Universiti London Guildhall dalam bidang undang-undang pada 1987 dan diterima sebagai Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya pada 1989.

Beliau pernah menjadi pengarah kumpulan syarikat Westmont Group dari 1992 hingga 1995, dan sebagai Ketua Pegawai Operasi Nanyang Press dari 1995-1996. Selepas menyertai Sin Chew pada 1996, beliau telah dilantik sebagai Ketua Eksekutif kumpulan pada 1999.

Hubungan rapat

Para aktivis media Cina dijangka memandang berat perlantikan Gan, kerana ia akan memperkuatkan lagi hubungan baik sedia ada antara Sin Chew dan Nanyang. Kedua-duanya merupakan pesaing sehinggalah parti MCA membeli Kumpulan Nanyang pada bulan Mei 2001.

November lalu, Nanyang Press menyenaraikan syarikat Pengerusi Sin Chew Datuk Tiong Hiew Tiong Toh Siong Holdings Sdn Bhd and Pemandangan Sinar Sdn Bhd masing-masing sebagai pemegang sahamnya yang ke-9 dan ke-13 terbesar.

Memandang kedua-dua syarikat itu masing-masing memegang 2.12 dan 0.31 peratus, maka Tiong memiliki 2.43 peratus saham Nanyang. Beliau telah disenaraikan sebagai salah seorang pemegang sham terbesar Nanyang sejak 2002.

Gan, 58, adalah lulusan Sarjana Muda Sains dari University New South Wales, Australia, dan lulusan sarjana pentadbiran perniagaan dari University Bath, United Kingdom. Beliau mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai industri, termasuk minyak sawit, farmasi dan sektor gentian optik.

Beliau telah berkhidmat dengan Sin Chew sejak 1984 dan memegang beberapa jawatan pengurusan dan jawatan kanan sebelum dilantik menganggotai lembaga pengarah pada 30 September 1999. Beliau juga menganggotai lembaga pengarah Bernama dan beberapa syarikat swasta lain.

Gan merupakan Pengarah Eksekutif Sin Chew sebelum beliau mengumumkan persaraannya pada 16 Februari, selepas berkhidmat dengan syarikat itu selama 22 tahun. Berita asal