Malaysiakini BERITA

Zuraida: Penjawat awam masih boleh milik rumah mampu milik dibawah dasar baru

Bernama  |  Diterbitkan

Penjawat awam masih boleh memiliki rumah mampu milik walaupun tiada lagi rumah khas kelompok penjawat awam di bawah ketetapan baru Dasar Perumahan Mampu Milik (DRMM) Negara dan Standard Perumahan Kebangsaan (SPK), kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata kementeriannya mensasarkan 9,000 penjawat awam akan menerima rumah mampu milik tahun ini.

"Jadi tiada isu (kerajaan) tak buat rumah untuk penjawat awam," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen Dekad Membaca Kebangsaan peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), di Putrajaya hari ini.

Zuraida sebelum ini mengumumkan tiada lagi rumah khas kelompok penjawat awam, dalam pelaksanaan ketetapan baru DRMM Negara SPK tahun ini, bagi memastikan kelestarian perhubungan dalam suatu komuniti.

Pada Isnin lepas, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Azih Muda dilaporkan meminta pembinaan rumah mampu milik untuk kakitangan awam menerusi DRMM Negara dikekalkan.

Zuraida berkata beliau sedia mendengar pandangan Cuepacs berhubung isu rumah mampu milik untuk penjawat awam di bawah DRMM Negara itu.

Bagaimanapun, katanya buat masa ini beliau belum dihubungi oleh Cuepacs untuk bertemu bagi membincangkan perkara itu.

Terdahulu, majlis yang diadakan sempena majlis berbuka puasa KPKT itu turut diselitkan dengan tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan program #QuranHour peringkat kementerian.

Zuraida berkata ini adalah kali pertama KPKT mengadakan #QuranHour bagi menggalakkan warganya membaca kitab suci itu di bulan Ramadan bersempena pelancaran kempen Dekad Membaca Kebangsaan peringkat kementerian itu.

- Bernama