Malaysiakini BERITA

Pengganas salah guna nama Adib, kata peguam

Alyaa Alhadjri  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kumpulan pengganas yang dikaitkan dengan IS telah menyalahgunakan nama anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim untuk mewajarkan tindakan ganas mereka.

Seorang peguam mewakili keluarga Muhammad Adib berkata demikian ketika diminta mengulas penahanan kumpulan itu awal bulan ini.

"Memang bagi saya dia salah gunalah. Tak ada kena-mengena pun. Ini (inkues) satu proses undang-undang. Dia (kumpulan pengganas) tidak membantu," kata peguam Kamaruzzaman A. Wahab.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Koroner Shah Alam pada hari ke-35 inkues di hadapan koroner Rofiah Mohamad hari ini.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador Isnin lalu mendedahkan empat lelaki yang dikaitkan dengan pengganas IS ditahan pada minggu pertama Ramadan, berhubung plot menyerang rumah ibadat bukan Islam dan pusat hiburan sekitar Kuala Lumpur.

Hamid berkata, keempat-empat suspek juga mengaku menganggotai kumpulan 'wolf pack' IS dan merancang serangan untuk "membalas dendam" terhadap kematian Adib.

Selain itu mereka juga merancang membunuh beberapa individu "berprofil tinggi" yang dianggap tidak memperjuangkan serta menghina Islam.

Mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 49 tahun, dengan seorang warga Malaysia - dipercayai ketua kumpulan - dan Indonesia, manakala dua lagi etnik Rohingya.

Mengulas lanjut, Kamaruzzaman berkata keluarga Adib mengalukan mana-mana pihak yang ingin mencari keadilan untuk allahyarham tetapi bukan dengan jalan keganasan.

"Tak ada masalah orang nak cari keadilan untuk Adib. Tapi untuk balas dendam, bunuh orang, itu kita tak boleh terima. 

"Itu bukan kehendak keluarga, bukan kehendak siapa-siapa. Jadi kita tak nak dikaitkan dengan mereka," katanya.