BERITA Malaysiakini

Pertukaran tanah: 14 laporan SPRM dibuat

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kementerian Pertahanan hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung baki 14 kes 'land swap' atau pertukaran tanah milik kementerian itu.

Laporan itu dibuat Pegawai Tugas-tugas Khas Kepada Menteri Pertahanan, Mohd Nasaie Ismail di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, susulan hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Kewangan dan Perolehan, yang diketuai Tan Sri Ambrin Buang, terhadap 16 isu 'land swap' membabitkan tanah milik Kementerian Pertahanan.

Pada Februari lepas, laporan SPRM telah dibuat mengenai dua projek membabitkan projek pembinaan Kem Paloh, Johor dan Kem Hutan Melintang, Perak.

Menurut Mohd Nasaie, keseluruhan 16 projek land swap itu melibatkan 1,182.89 hektar (2,923 ekar) tanah milik persekutuan yang bernilai RM4.7 bilion, dan nilai projek yang sepatutnya dibangunkan adalah sebanyak RM4.8 bilion.

"Sehingga Disember 2018, hanya lima projek telah disiapkan, dua dalam pembinaan dan baki sembilan projek lagi sama ada gagal disiapkan atau masih dalam proses untuk ditandatangani," katanya kepada pemberita sebelum membuat laporan SPRM di Putrajaya hari ini.

Menurut Mohd Nasaie, hanya dua daripada 16 projek land swap itu iaitu Pusat Pengajian Nasional di Putrajaya dan Fasiliti Skuadron 323 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Bukit Banang, Johor termasuk dalam Pelan Pembangunan Kementerian Pertahanan.

"Ini bermakna, baki 14 lagi yang tidak termasuk dalam Pelan Pembangunan tersebut bukanlah keutamaan,” katanya.

Menurutnya, terdapat juga pertimbangan politik melebihi kepentingan kerajaan di 13 daripada 16 projek yang dibina.

Menurutnya, pemilihan syarikat pelaksana projek tidak mengikut syarat iaitu berpengalaman dan mempunyai kedudukan kewangan kukuh, iaitu minima 10 peratus daripada nilai projek, dan ia memberi kesan kelewatan projek sehingga ada yang lewat 11 tahun.

Menurut Mohd Nasaie, hasil siasatan menganggarkan kerajaan rugi sebanyak RM515.21 juta berdasarkan kepada pelanjutan masa projek yang gagal disiapkan segera, kontrak tambahan yang tidak termasuk dalam perancangan, dan penetapan nilai tanah gantian yang lebih rendah daripada harga semasa yang dinilai Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.

"Kebimbangan kita bukan setakat kerugian nilai wang, tetapi kedudukan strategik pertahanan negara terjejas, disebabkan kegagalan projek tertentu serta mengancam keselamatan negara," katanya.

- Bernama