KDN serbu kilang cetak akhbar baru Eastern Times
Unit Kawalan Penerbitan, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) mengadakan serbuan ke kilang tempat mencetak akhbar tabloid harian Eastern Times yang dirancang untuk diterbit dan dijual di pasaran negeri ini mulai bulan depan.
Unit Kawalan Penerbitan, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) mengadakan serbuan ke kilang tempat mencetak akhbar tabloid harian Eastern Times yang dirancang untuk diterbit dan dijual di pasaran negeri ini mulai bulan depan.
Operasi itu dilakukan jam 4 petang semalam di bangunan The Sarawak Press Sdn Bhd di Kuching kerana pihak penerbit disyaki mencetak akhbar berkenaan tanpa permit sah mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Pemangku Pengarah KDN Sarawak Mohamad Hashim Kammarulddin ketika dihubungi Bernama berkata, pihaknya juga merampas beberapa naskah akhbar berkenaan serta plat percetakan yang digunakan untuk mencetaknya.
"Saya akan berjumpa dengan pihak pengurusan akhbar tabloid itu esok (hari ini) untuk mendapat penjelasan lanjut," katanya.
Mengenai tindakan selanjutnya, beliau berkata, ia akan diputuskan kemudian setelah mendapat laporan daripada pegawai penguatkuasa sebelum ia diserahkan untuk tindakan lanjut.
Di bawah Seksyen 5(1) akta itu, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara lima tahun bagi kesalahan mencetak dan mengedar akhbar tanpa permit.
Pengarah Eksekutif Sarawak Press Sdn Bhd Polit Hamzah ketika dihubungi Bernama mengesahkan pemeriksaan itu.
'Pemeriksaan biasa'
"Ia hanya pemeriksaan penguatkuasaan biasa dalam bilik pencetakan untuk memastikan tiada pengedaran akhbar Eastern Times tanpa permit penerbitan," katanya sambil menyifatkan pemeriksaan itu adalah prosedur biasa oleh KDN.
Beliau menjelaskan pencetakan beberapa naskah Eastern Times adalah sebagai salinan contoh bagi menguji pencetakan akhbar itu.
Ditanya sama ada rampasan dibuat, beliau berkata: "Saya tidak tahu kerana saya tidak ada di pejabat (semasa mereka datang)."
Sabtu lalu, Polit telah memberitahu satu majlis jamuan malam untuk pengedar, ejen, penjual dan rakan kongsi perniagaan Sarawak Press Sdn Bhd bahawa sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris dalam bentuk tabloid, dijangka diterbitkan di negeri ini menjelang pertengahan bulan depan.
Ahad lalu, akhbar tempatan memetik beliau sebagai berkata, akhbar baru itu hanya akan diterbitkan setelah permit penerbitannya dikeluarkan oleh KDN dalam masa terdekat..
Menurutnya, akhbar itu sebagai pengganti kepada Sarawak Tribune yang telah digantung permit penerbitannya pada 9 Februari lalu kerana menyiarkan semula karikatur mempersendakan Nabi Muhammad S.A.W pada 4 Februari lalu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.