Noh: Jangan paksa pelajar pakai tudung atau telekung
Kementerian Pelajaran melarang keras sebarang tekanan atau paksaan oleh mana-mana pihak ke atas pelajar perempuan agar mengenakan tudung atau telekung, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Noh Omar.
Kementerian Pelajaran melarang keras sebarang tekanan atau paksaan oleh mana-mana pihak ke atas pelajar perempuan agar mengenakan tudung atau telekung, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Noh Omar.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada semua pentadbir sekolah di seluruh negara supaya tidak meminda sebarang peraturan dan pekeliling berkaitan pentadbiran serta disiplin yang ditetapkan oleh kementerian berkenaan.
Ianya berikutan tindakan tiga guru disiplin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Sentang dekat Kuala Krau di Temerloh yang menggunting tudung 65 pelajar perempuan pada 22 Februari lalu kerana tidak mematuhi standard yang ditetapkan oleh pentadbir sekolah.
Menurut laporan Bernama, Noh berkata, kementerian memandang serius perkara itu dan semua sekolah wajib mematuhi pekeliling kementerian agar matlamat dasar pelajaran tercapai.
"Jika sekolah ingin meminda pekeliling sedia ada, mereka perlu terlebih dulu merujuk kepada Kementerian Pelajaran bagi mengelak sebarang percanggahan dari aspek pelaksanaan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan mengejut dengan guru SMK Teluk Sentang hari ini atas arahan Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Mengikut pekeliling yang dikeluarkan sendiri oleh sekolah berkenaan, pelajar perempuan hanya dibenarkan memakai tudung dari jenis labuh dan bulat, seperti yang lazimnya dikenakan oleh pelajar di sekolah agama.
Pinda pekeliling
Noh berkata kementerian sedia membenarkan permintaan pentadbir untuk meminda pekeliling bagi disesuaikan dengan situasi sekolah asalkan tidak bercanggah dengan peraturan dan pekeliling sedia ada.
"Tindakan sesetengah sekolah meminda pekeliling yang sedia ada amat serius bagi kementerian, contohnya dari aspek yang melibatkan pakaian dan tudung. Ini kerana tudung bukan soal disiplin," katanya.
Turut mengiringi beliau dalam lawatan berkenaan ialah Pengarah Pelajaran Negeri Datuk Ahmad Azmey Abu Talib dan Anggota Parlimen Kuala Krau Ismail Mohamed Said.
Dalam perkembangan berkaitan, Noh berkata penggubalan peraturan baru oleh kementerian itu yang dikenali sebagai Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid 2006) kini di peringkat akhir dan akan diwartakan segera untuk membolehkan ia dilaksanakan tahun ini.
"Peraturan ini untuk ganti Panduan Tatacara Disiplin Sekolah untuk Guru Besar dan Guru. Ia lebih komprehensif dan membolehkan semua hukuman dan tindakan diselaraskan di seluruh negara.
"Jika sekarang hanya ada undang-undang tetapi hukuman agak longgar, jadi peraturan baru ini lebih menyeluruh dan efektif," katanya.

