Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

RCI WANG KELIAN | Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diberitahu tiga rakyat Malaysia - termasuk seorang wanita - terlibat dalam memberi akaun bank masing-masing kepada sindiket penyeludupan migran.

Saksi ke-33, Inspektor Mohd Sufian Abdul Rashid berkata daripada tiga individu terbabit hanya dua yang dikaitkan dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Menurut Mohd Suffian, kedua-dua lelaki itu dikenali sebagai Ku Hamid Ku Musa dan Ariffin Abdullah Sani.

Mohd Suffian yang merupakan pegawai penyiasat kes berkenaan menambah hasil siasatan mendapati terdapat transaksi membabitkan akaun bank milik kedua-dua lelaki terbabit.

"Seorang warga Myanmar mendepositkan wang sebanyak RM4,000 ke akaun Ku Hamid pada 20 Okt 2015 untuk pembebasan anak saudaranya di kem berkenaan," katanya dalam prosiding hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Suffian bagaimanapun berkata pihaknya mendapati hanya satu transaksi berkaitan migran membabitkan lelaki kelahiran Myanmar berkenaan.

“Berdasarkan siasatan, dia (Ku Hamid) adalah warganegara Malaysia.

"Pada Nov 2012 didapati sejumlah RM5,800 didepositkan oleh seorang etnik Rohingya untuk membebaskan pakciknya di kem Thailand,” katanya.

Prosiding dijalankan tertutup

Ahli panel RCI dimaklumkan bahawa lelaki Rohingya itu dikenali sebagai Zidul Islam, merupakan seorang daripada 38 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan di kem Wang Kelian.

Menurut Mohd Suffian lagi, pihaknya menyita dan melucut hak harta berjumlah RM41,000 daripada kedua-dua lelaki terbabit termasuk sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton.

Jelasnya, perintah menyita dan melucut hak harta terbabit telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah pada 7 Julai 2015.

Prosiding kemudian memanggil tiga lagi saksi termasuk Korporal Mat Ten daripada Batalion 3 Pasukan Gerakan Am, yang dipanggil semula untuk memberi keterangan.

Mat Ten merupakan saksi pertama yang dipanggil semula hari ini.

Bagaimanapun, inkues itu diadakan secara tertutup dan wakil media serta orang awam diminta meninggalkan bilik prosiding.

Prosiding bersambung pada 27 Mei depan.

RCI tujuh anggota itu dipengerusikan bekas ketua hakim negara, Arifin Zakaria, manakala bekas ketua polis negara, Norian Mai dilantik sebagai timbalan pengerusi.

Ia ditubuhkan bagi menyiasat penemuan 147 kubur, 130 rangka manusia dan 28 kem penyeludupan manusia yang ditinggalkan di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, sempadan Malaysia-Thailand pada 2015.

Lihat Komen
ADS