Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

NGO Befreinders Kuala Lumpur meminta pihak media di Malaysia memainkan peranan dalam membantu individu yang mengalami masalah kemurungan termasuk golongan remaja.

Antaranya tidak terlalu menonjolkan berita berkenaan bunuh diri terutamanya melibatkan golongan selebriti luar negara.

Selain itu, Pengarah Eksekutif Befrienders Kuala Lumpur, Kenny Lim juga berharap media tidak melaporkan secara terpeinci seperti menyiarkan nota bunuh diri, serta berhati-hati dalam menyiarkan gambar atau rakaman video mangsa.

“Sewaktu penyanyi k-pop (selebriti korea selatan) Kim Jong Hyun meninggal dunia akibat bunuh diri, kami menerima e-mel dan telefon sebanyak tiga kali ganda.

“Mereka (golongan mengalami kemurungan) berkata ingin mengikuti jejak selebriti tersebut kerana membaca cara dia (Kim Jong Hyun) meninggal dunia menerusi berita," katanya ketika ditemui Malaysiakini di Pejabat Befrienders Petaling Jaya, semalam.

Oktober lalu, Kim Jong Hyun yang merupakan anggota kumpulan SHINee telah membunuh diri akibat mengalami kemurungan.

Menurut Kenny, statistik Befrinders menunjukkan kes bunuh diri di Malaysia meningkat dengan kadar yang tinggi pada tahun lalu apabila sebanyak 37.5 peratus kes direkodkan.

Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan 7 peratus berbanding 29.8 peratus pada tahun 2017 serta mencatat peningkatan peratus tertinggi sepanjang dua tahun.

Befrienders merupakan pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan sejak 1970 untuk memberi sokongan emosi kepada individu yang mempunyai masalah emosi yang serius sehingga mahu membunuh diri.

Selain menyediakan perkhidmatan talian bantuan melalui telefon dan e-mel, Befrienders juga menyediakan bantuan melalui temu janji untuk perjumpaan secara peribadi.

Remaja paling berisiko

Baru-baru ini seorang remaja berusia 16 tahun terjun dari tingkat tiga bangunan rumah kedai di Kuching selepas membuat undian untuk membunuh diri di Instagram.

Berdasarkan kepada statistik Befrienders, remaja berumur lingkungan 21 hingga 29 tahun mencatat peratus tertinggi untuk membunuh diri iaitu sebanyak 19.7 peratus.

Ini diikuti golongan pertengahan umur iaitu lingkungan 30 hingga 49 tahun sebanyak 16.8 peratus.

Lim berkata, golongan remaja antara paling tinggi berisiko untuk membunuh diri.

“Kebanyakan mereka ada masalah keluarga seperti kurang kasih sayang dari ibu bapa dan itu ternyata ganggu emosi mereka.

“Ini mungkin bagi sesetengah orang masalah kecil, tapi kita tidak tahu ia penting sampai mereka (remaja) boleh terdorong untuk bunuh diri,” katanya yang sudah 21 tahun menjadi sukarelawan kepada NGO tersebut.

Statistik juga menunjukkan masalah keluarga dan hubungan dengan rakan menyumbang kepada faktor bunuh diri iaitu masing-masing sebanyak 13.9 peratus dan 16.3 peratus.

“Pengetahuan mengenai kesihatan mental itu kurang, mereka (rakan) tidak tahu depression (kemurungan) ini satu penyakit.

“Kita lihat peratus dari segi golongan kemurungan yang ingin bunuh diri itu tinggi. Jadi penting untuk beri tumpuan isu ini sebelum terlambat,” katanya.

Tahun lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata kajian menunjukkan satu daripada lima anak muda mengalami kemurungan, manakala satu daripada 10 remaja berhadapan masalah tekanan perasaan.

Kajian Kesihatan Mental Kebangsaan 2017 menunjukkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada 5.5 juta belia di negara ini pernah terfikir untuk membunuh diri.

Lihat Komen
ADS