Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin meminta kerajaan tidak campur tangan dalam urusan perbankan sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

"Kita tidak boleh campur tangan dalam pengurusan bank. Perkara ini lebih baik diserahkan kepada Bank Negara. Ia bebas dan mereka boleh uruskannya dengan baik.

"Sebab utama kita harus berhenti mengganggu tugas Bank Negara adalah kerana skandal yang lalu," kata Daim dalam satu wawancara dengan Focus Malaysia.

Beliau menjawab soalan mengenai kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dua bulan lalu, yang menggesa bank-bank mengurangkan sekatan terhadap pinjaman.

Lim berkata terdapat banyak aduan berhubung kesukaran mendapatkan pinjaman, walaupun bank-bank mencatatkan keuntungan yang besar.

Sementara itu, Daim turut mengulas kenyataan menteri kewangan sebelum ini mengenai langkah positif kerajaan menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"GST mungkin bentuk cukai yang terbaik. Ia penting, tetapi apa yang anda guna dengan wang itu juga penting.

"Dalam kes kerajaan terdahulu, mereka tidak kembalikan wang itu, antara lain. Dan di situlah terdapat bantahan: salah guna dana yang dikutip melalui GST," katanya.

Tahun lepas, Lim berkata GST adalah cukai yang lebih berkesan tetapi mengatakan masalah timbul apabila bayaran balik tidak dibayar tepat pada waktunya.

Lim mendakwa RM19.4 bilion dalam tunggakan GST telah disalahguna oleh kerajaan terdahulu, menyebabkan kelewatan pembayaran balik.