Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Inkues Adib pertimbang panggil pakar patologi bebas ketiga

INKUES ADIB l Koroner Rofiah Mohamad belum membuat keputusan sama ada pakar patologi bebas ketiga akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam inkues yang sedang dijalankan untuk menentukan kematian anggota bomba allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pegawai pengendali inkues Fatin Hadni Khairuddin berkata bahawa tiada permintaan dibuat untuk pakar forensik bebas ketiga, tetapi perkara ini diserahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan atas keperluan untuk berbuat demikian atau sebaliknya.

"Buat masa ini, kami tidak fikir bahawa perlu ada permintaan untuk pakar ketiga, tapi kami masih memberitahu mahkamah untuk mempertimbangkan," katanya kepada pemberita.

Ketika di penghujung prosiding hari ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam, peguam Syazlin Mansor bagi pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meminta saksi ke-29, bekas pakar patologi UKM, Profesor Dr Shahrom Abdul Wahid, dipanggil balik.

Beliau berkata ini kerana, ekoran pegawai pengendali inkues telah memanggil semula saksi ke-24, pakar forensik HKL Dr Ahmad Hafizam Hasmi, yang membuat bedah siasat ke atas mendiang Adib.

Shahrom ketika menghadiri buat kali pertama ke prosiding inkues bulan lepas, menafikan kesimpulan yang dicapai oleh Hafizam dan Ketua Jabatan forensik, HKL Dr Mohd Shah Mahmood.

Dua pakar daripada HKL turut melibatkan diri ketika Adib yang berusia 24 tahun, diwadkan di Institut Jantung Negara (IJN) susulan rusuhan di Kuil Seafields pada tahun lepas.

Secara keseluruhan, Hafizam menghadiri ke inkues buat kali kesembilan, di mana beliau sentiasa mempertahankan pandangan beliau berasaskan bedah siasat dan konklusi selanjutnya berdasarkan testimoni saksi-saksi yang lain, berbeza dengan pandangan Shahrom.

Antaranya, Hafizam mengekalkan pendirian beliau bahawa tiada kecederaan ke atas Adib untuk merumuskan bahawa beliau ditarik keluar daripada van EMRS.

Sama juga, beliau berkata tiada kesan menunjukkan Adib cuba menahan badannya mengunakan tangan daripada tersembam ketika jatuh daripada van EMRS.

Berkenaan cadangan bahawa tiada tanda-tanda lebam ditemui di belakang Adib kerana dia telah gagal untuk memisahkan lapisan kulit dan tisu, Hafizam berpendapat bahawa tidak perlu melakukannya, dan prosedur itu hanya boleh dijalankan oleh seorang pakar bedah plastik menggunakan mesin khas.

Rofiah kemudian menetapkan 27 Mei dan 28 Mei sebagai tarikh berikutnya bagi inkues.

Adib meninggal dunia pada 17 Disember pukul 9.41 tengah hari di IJN selepas mengalami kecederaan pada malam rusuhan. Susulannya, satu inkues telah diperintahkan selepas dua versi bertentangan mengenai punca kematiannya.

Satu versi mendakwa dia dilanggar oleh sebuah kenderaan manakala versi lain mendakwa dipukul oleh perusuh.

Lihat Komen
ADS