Malaysiakini BERITA

'Sedia hadapi amarah rakyat jika senarai hitam peminjam PTPTN'

Ramieza Wahid  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Aktivis pelajar Asheeq Ali Sethi Alivi mengingatkan agar Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN) bersedia menghadapi kebangkitan dan kemarahan rakyat sekiranya cadangan menyekat peminjam yang gagal membayar hutang diteruskan.

"Cadangan tersebut seolah olah menampakkan bahawa PTPTN ini sebuah syarikat along (ceti haram) yang kerja cekik duit rakyat.

"Jika PTPTN mahu teruskan sekatan perlu bersedia untuk menghadapi kebangkitan dan kemarahan rakyat.

"Jujur kepada rakyat. Jangan mempermainkan kami, pembayar PTPTN ini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam, Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan dipetik Berita Harian sebagai berkata bahawa dia sendiri tidak bersetuju dengan cadangan mengembalikan hukuman senarai hitam terhadap peminjam yang gagal membayar hutang.

Wan Saiful juga menafikan cadangan itu datang daripada PTPTN.

Jelas Wan Saiful, cadangan itu adalah hasil perbincangan antara PTPTN dengan kumpulan tertentu dalam rundingan meja bulat sebelum ini dan bukannya keputusan muktamad.

Mengulas lanjut, Asheeq mengingatkan agar Wan Saiful lebih peka dalam membuat kenyataan media.

“Saya rasa inilah masalah sebenar dalam Pakatan Harapan (PH), mereka sepatutnya dihantar ke kelas komunikasi.

"“Masalah komunikasi antara mereka ini sentiasa terjadi," katanya.

Rabu lalu, dalam taklimat bersama media yang turut dihadiri Wan Saiful, pentadbiran PTPTN memaklumkan bahawa pihak mereka sedang meneliti beberapa cadangan untuk mengutip baki pinjaman pendidikan.

Timbalan CEO PTPTN, Mastura Mohd Khalid berkata, PTPTN akan mempertimbangkan cadangan menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan kepada kabinet.

Mastura juga menambah bahawa sekatan perjalanan merupakan kaedah paling berkesan oleh PTPTN dalam usaha mengumpul balik bayaran pinjaman daripada peminjam yang gagal membuat bayaran.

Tubuh jawatankuasa

Mengulas lanjut, Asheeq menggesa agar kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi meneliti isu PTPTN.

“Sudah tiba masanya PTPTN berhenti dipolemikkan, ia (PTPTN) sebuah organisasi yang mengendalikan dana berbilion ringgit.

“Kerajaan patut meletakkan PTPTN di bawah satu jawatankuasa yang memfokuskan untuk memulihkan institusi tersebut dan pada masa berlaku adil kepada peminjam PTPTN,” katanya.

Dalam manifesto sebelum PRU ke-14, PH berjanji untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.

Pada Jun tahun lalu, sebanyak 265,149 nama daripada 433,708 peminjam PTPTN telah dikeluarkan daripada senarai hitam Jabatan Imigresen.

Bagaimanapun, peminjam bergaji RM4,000 ke bawah masih perlu membayar pinjaman seperti biasa kerana kedudukan kewangan negara dikatakan belum kukuh.