Kumpulan peguam Lawyers For Liberty menggesa pelaksanaan hukuman mati terhadap rakyat Malaysia di Singapura yang dijadual pada Jumaat minggu depan dihentikan.

Dalam satu kenyataan, penasihatnya, N Surendran turut menggesa kerajaan Malaysia mendesak agar hukuman mati yang dikenakan ke atas P Pannir Selvam, 32 ditukar kepada hukuman penjara.

Surendran juga menyatakan kesal kerana notis singkat diberikan kepada keluarga tahanan untuk pelaksanaan hukuman mati itu.

"Keluarga Pannir di Kuala Lumpur diberitahu oleh Singapura pada 17 Mei 2019, bahawa dia akan dihukum gantung di penjara Changi pada waktu subuh pada hari Jumaat, 24 Mei.

"Dalam surat pemberitahuan mereka, Perkhidmatan Penjara Singapura meminta keluarga membuat 'persiapan pengebumian yang diperlukan' untuk Pannir.

"Pemberitahuan satu minggu untuk keluarganya bersama Pannir dan mempersiapkan diri bagi hukuman gantung itu adalah menindas dan tidak adil kepada Pannir dan keluarganya," kata Surendran.

Pannir disabitkan kesalahan itu pada 27 Jun 2017 selepas mengedar 51.84g heroin di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada September 2014.

Dia menafikan dirinya tahu mengenai dadah berkenaan dan hakim mahkamah tinggi Singapura ketika menjatuhkan hukuman juga mendapati Pannir hanyalah seorang keldai dadah.

Menurut peguam, Pannir juga membantu pihak berkuasa Singapura menyediakan maklumat penting mengenai rakyat Malaysia, yang dipercayai sebagai dalang, dan didakwa menipu Pannir untuk membawa pakej itu ke Singapura.

Individu itu dipercayai masih aktif dalam pengedaran dadah di Malaysia.

Walaupun demikian, Surendran berkata adalah tidak masuk akal Pannir dinafikan sijil bantuan oleh pendakwa raya.

"Sijil itu akan membolehkan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan bukannya mati," katanya.

[Baca berita penuh]