MPKJ buka laluan ke kuil Ladang Bangi
Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) telah membuka jalan masuk ke kuil Sri Maha Karumariamman di Ladang Bangi, yang menjadi pertikaian antara pemaju dan bekas pekerja ladang.
Anggota Jawatankuasa Pusat PSM, S Arutchelvan, dalam satu kenyataan hari ini berkata, operasi memecahkan kunci yang dipasang pemaju di pintu pagar masuk ke kuil itu, dilakukan pegawai MPKJ dan polis sebelum jam 5 petang semalam.
"Apabila penduduk dan bekas pekerja tiba di pintu pagar pada pukul 5 petang, ia terbuka lebar.
"Orang ramai juga membawa jentera berat untuk membersihkan longgokan pasir yang diletakkan pemaju untuk menghalang kereta masuk," katanya sambil menyifatkan pemaju sebagai angkuh kerana tidak mendengar arahan majlis perbandaran dan timbalan menteri Ong Kian Ming, agar membuka kunci itu pada 8 Mei lalu.
Arutchelvan mendakwa MPKJ "lembap" dalam menyelesaikan masalah itu kerana tanggapan bahawa pemaju mendapat sokongan kuat pihak yang berkuasa.
"Dalam Malaysia baru ini, kami menjangkakan hak rakyat tidak diinjak oleh mana-mana pemaju yang berkuasa atau yang berkaitannya," katanya.
Khamis lalu, Arutchelvan yang juga penasihat Jawatankuasa Ladang Bangi, bimbang isu kuil di Bangi itu akan mengulangi kejadian serupa seperti yang berlaku di kuil Seafield tahun lalu.
"Saya bimbang, seperti kejadian kuil Seafield, masalah kecil boleh merebak jika apa yang perlu dilakukan tidak dilakukan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pemaju telah memberi jaminan tidak menutup jalan masuk sementara menunggu jalan alternatif disediakan.
Kuil yang tidak dipertikaikan dan diwartakan oleh kerajaan Selangor itu dibina di atas tanah yang disediakan oleh pemaju sebagai ganti rugi kepada pekerja ladang di sana.
Ini adalah sebahagian daripada perjanjian penyelesaian pada tahun 2016, yang termasuk janji untuk menyediakan setiap keluarga dengan pangsapuri kos rendah.
Beliau bimbang pertikaian jalan masuk ke kuil itu akan berlarutan jika tidak ditangani secepat mungkin.
Pada November tahun lalu, usaha pemaju menghalau penganut Hindu di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya menyebabkan berlaku rusuhan sehingga mengorbankan seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

