Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda sokong siapa saja dilantik pengerusi Umno S'gor

Pemuda Umno Selangor tiada masalah dengan tiga nama yang dicadangkan sebagai calon pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu.

Ketuanya Rizam Ismail berkata, apa yang penting adalah mengembalikan semula kekuatan parti itu di Selangor.

"Siapa yang bakal mengambil alih kepemimpin Umno Selangor daripada (Naib Presiden Umno) Ismail Sabri Yaakob biarlah pucuk pimpinan parti yang tentukan.

"Pemuda Umno Selangor tiada masalah dengan sesiapa pun yang bakal dilantik. Siapa yang dipilih oleh pucuk pimpinan, itulah yang terbaik buat parti dan pemuda," katanya yang juga ketua pembangkang DUN Selangor kepada Malaysiakini.

Katanya lagi, pemuda Umno Selangor akan membantu sesiapa saja yang dilantik nanti untuk mendapatkan semula sokongan rakyat Selangor.

Hari ini portal The Malaysian Insight melaporkan tiga nama dikemukakan Umno Selangor untuk menggantikan Ismail Sabri - timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Mat Nadzari Ahmad Dahlan serta dua ketua bahagian, iaitu Johan Abdul Aziz dan Megat Zulkarnain Omardin.

Laporan itu memetik sumber sebagai berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas di kalangan ketua Umno bahagian negeri Sabtu lalu.

“Tiga nama ini akan dihantar ke Umno pusat untuk diputuskan. Mungkin selepas Raya akan diumumkan,” kata sumber itu seperti dipetik.

Sebelum PRU ke-14, jawatan berkenaan disandang Anggota Parlimen Tanjong Karang, Noh Omar.

Bagaimanapun Noh melepaskan jawatan itu selepas BN tewas pada PRU 9 Mei tahun lalu.

Lihat Komen
ADS