Malaysiakini
BERITA

'KDNK 4.5% suku pertama tunjuk daya tahan tinggi ekonomi negara'

Bernama

Diterbitkan

Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 4.5 peratus bagi suku pertama tahun ini menunjukkan daya tahan ekonomi Malaysia yang tinggi, semasa negara berhadapan dengan ketidaktentuan cabaran luaran yang timbul akibat perang dagangan antara Amerika Syarikat dan China, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata ini merupakan satu permulaan yang memberangsangkan untuk tahun ini.

“Ia seiring dengan kenaikan pelaburan langsung asing iaitu ke tahap tertinggi di dalam sejarah negara, iaitu RM21.7 bilion, peningkatan sebanyak 94.8 peratus berbanding RM11.2 bilion yang telah dicatatkan pada suku pertama tahun lepas.

“Ini membuktikan kekuatan ekonomi negara serta keyakinan tinggi pelabur asing ke atas kerajaan dan negara Malaysia,” katanya dalam perutusan Hari Wesak yang disambut esok.

Lim berkata lebih separuh daripada FDI yang direalisasikan disumbangkan oleh pelaburan RM8.4 bilion daripada Jepun, RM3.7 bilion daripada Austria dan RM2.8 bilion daripada Hong Kong.

Kerajaan berharap keyakinan yang ditonjolkan pelabur asing akan membantu meningkatkan pelaburan domestik syarikat tempatan bagi memantapkan lagi pertumbuhan negara, katanya.

Pada masa sama, Lim berkata lebihan akaun semasa telah naik kepada RM16.4 Bilion, atau 4.7 peratus daripada pendapatan kasar negara berbanding 3.0 peratus daripada suku keempat 2018.

“Ia dijangka akan terus berada dalam keadaan lebihan dalam suku-suku yang akan datang."

Beliau turut berkata bahawa suku pertama 2019 telah memperlihatkan Malaysia menerima 6.696 juta pelancong asing, iaitu jumlah yang terbesar sejak suku keempat 2016.

Ini merupakan peningkatan 2.7 peratus berbanding tahun lepas apabila 6.520 juta pelancong asing melawat Malaysia, dan 3.9 peratus berbanding suku keempat 2018 apabila 6.446 juta pelancong asing masuk melawat Malaysia.

“Sambil semua penganut agama Buddha merayakan Hari Wesak dengan aman, marilah kita memperingati ajaran yang mengajak manusia untuk sentiasa berbuat baik dengan saling bantu-membantu tanpa melupakan sesiapa.

“Perkara yang sama akan dilaksanakan oleh kerajaan melalui pertumbuhan inklusif bagi memastikan kesejahteraan untuk semua rakyat Malaysia.

“Ini sejajar dengan konsep 'Kemakmuran Bersama' seperti yang diterangkan perdana menteri pada 9 Mei 2019 sempena ulang tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan,” katanya.

-Bernama

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.