Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita pertahan dakwaan jadi mangsa gangguan seksual MP PKR

Wanita yang mendakwa diganggu secara seksual oleh anggota parlimen Sungai Siput, S Kesavan menafikan dirinya ada menaruh hati atau cuba merosakkan rumah tangga pemimpin PKR itu.

Sebaliknya, wanita berkenaan yang hanya mahu memperkenalkan dirinya sebagai Ammu mempertahankan laporan polis yang dibuat terhadap Kesavan.

“Biar polis siasat. Apa yang saya lapor dalam laporan polis semuanya bukan fitnah," katanya ketika ditemui Malaysiakini di Puchong semalam.

Pada 4 Mei lalu Kesavan membuat laporan polis terhadap Ammu yang juga bekas pembantunya atas dakwaan melakukan ugutan.

Susulan itu pada 16 Mei lalu, wanita tersebut pula membuat dua laporan polis terhadap Kesavan dan seorang lagi pemimpin MIC.

Dalam laporan polis itu Ammu mendakwa menerima gangguan seksual daripada bekas Adun Sungai Melintang itu.

Bagaimanapun, Kesavan semalam mendakwa wanita itu mempunyai perasaan terhadapnya dan kerap menghubunginya sehingga 'berpuluh kali sehari'.

Kesavan sendiri cadang Ammu bendahari

Ammu berkata, Kesavan sendiri mencadangkan namanya dilantik sebagai bendahari cabang PKR Sungai Siput pada 27 Disember tahun lalu.

Malah katanya bukti mengenai perkara itu turut dinyatakan dalam minit mesyuarat.

“Jadi, kenapa Kesavan cadang nama saya sedangkan beliau berkata semalam bahawa beliau mula sangsi gerak-gerik saya sejak September?” soalnya.

Kata Ammu beliau kemudian menghantar surat peletakan jawatan pada pada 29 Disember selepas tidak tahan menerima gangguan Kesavan.

Namun ia tidak diterima anggota parlimen itu.

Ammu turut menunjukkan kiriman Whatsap dari Kesavan yang berbunyi "Jangan buat macam ini Ammu, sila sabar” kepada Malaysiakini.

“Kalau beliau tidak tahan dengan ugutan dan campur tangan saya, kenapa tidak terima surat letak jawatan saya?” tambahnya.

Mohon maaf tapi ulangi semula

Ammu berkata, ekoran surat peletakan jawatan itu, Kesavan datang berjumpa beliau dan suaminya di Puchong untuk memohon maaf.

“Semasa berjumpa dia meminta maaf atas tindakannya, serta meminta saya untuk meneruskan kerja dengannya dan berjanji tidak akan membuat sebarang gangguan," katanya.

Bagaimanapun menurut Ammu, tingkah laku Kesavan selepas itu masih tidak berubah.

“Saya terpaksa kerja dengannya, kerana sering menerima panggilan daripada pengundi Sungai Siput meminta bantuan.

“Tapi, saya tidak tahan dengan Kesavan dan sekali lagi menghantar surat letak jawatan sebagai pembantu beliau pada 30 April. 

"Sekali lagi, tidak diterima olehnya," katanya.

Bagaimanapun Ammu berkata kali ini beliau nekad untuk meletak jawatan.

"Saya juga nak Kesavan jawab kenapa beliau dua kali menolak surat letak jawatan saya, kalau sekiranya saya ganggu dan ugut beliau," ujarnya.

Menurut Ammu, dakwaan Kesavan bahawa dia menawarkan diri secara sukarela untuk membantu kempen pemimpin PKR pada pilihan raya umum lalu juga tidak benar.

Malah, katanya, Kesavan sendiri datang menginap di sebuah hotel di Puchong untuk bertemu dan meminta bantuannya pada masa itu.

"Saya tidak dapat pergi jumpa beliau kerana tidak sihat. Jadi, suami saya dan seorang lagi individu yang dikenali berjumpa dengan beliau.

“Jadi, saya di sini cabar beliau untuk menafikan bahawa beliau tidak datang ke Puchong untuk jumpa saya,” kata Ammu.

Ketika ditanya kenapa Kesavan mahu beliau membantu kempennya, Ammu menjawab ia disebabkan dirinya adalah seorang peguam.

Lihat Komen
ADS