Terjemahan Kecewa dengan amalan rasuah yang didakwa membabitkan para pengetua sekolah rendah (SJK) Cina, jawatankuasa pengelola sebuah sekolah tersebut, menawarkan ganjaran RM500,000 kepada mereka yang memberi maklumat dan bukti mengenai perbuatan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SRJK(C) Chin Woo, Ong Koh Hou (foto) mendakwa, para pengetua mendapat habuan daripada penjualan buku teks, buku kerja dan bantuan lain kepada pelajar mereka.

Beliau cuba menyiarkan iklan dalam semua akhbar harian berbahasa Cina untuk tempoh tiga hari mulai Isnin lalu, bagi enawarkan ganjaran tersebut kepada mereka yang ada bukti mengenai perbuatan tersebut.

Bagaimanapun, sehingga ini, hanya akhbar Oriental Daily News sahaja yang menyiarkan iklan tersebut.

Menurut Ong, akhbar Nanyang Siang Pau milik MCA dan akhbar bahasa Cina paling tinggi edarannya Sin Chew Daily enggan menyiarkan iklan tersebut dengan alasannya ianya 'sensitif'.

Akhbar China Press pula berjanji untuk menyiarkan iklan tersebut hari ini, tetapi ia menjangka akan menghadapi "halangan', tambah Ong.

Ong berpendapat, kedua-dua akhbar berkenaan tidak mahu menyiarkan iklannya kerana mempunyai "kaitan perniagaan" dengan SJK Cina di seluruh negara, yang memerlukan kelulusan para pengetua.

Nanyang Press Holdings dan Sinchew Media Corporation pula mengeluarkan beberapa penerbitan yang turut dijual di SJK Cina, manakala kebanyakan akhbar berbahasa Cina terbabit dalam program akhbar dalam darjah di sebahagian besar SJK.

RM100 juta 'hilang'

Dakwaan berlakunya amalan rasuah membabitkan pengetua SJK Cina dibangkitkan dalam satu program perbincangan di Astro pada 5 Februari lalu, yang disertai Ketua Pegawai Eksekutif Dong Zong, Bock Tai Hee: Ahli Dewan Undangan Negeri DAP bagi Sungai Pinang, Teng Chang Kim and Naib Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Petaling, Teh Hon Seng.

Mereka mempersoalkan pembayaran komisen oleh mereka yang menjual produk seperti buku teks, buku kerja atau menawarkan perkhidmatan seperti bagi kelas celik komputer.

Kiraan Teh (foto) menunjukkan setiap pelajar membayar RM780 bagi membeli buku, alat tulis, kelas komputer dan tuisyen yang diuruskan oleh pihak sekolah.

Dengan mengambil kira 650,000 pelajar di semua sekolah Cina, jumlahnya mencecah hampir

RM500 juta setahun. Diandaikan kadarnya 30 peratus, maka jumlah bayaran komisyen tersebut adalah kira-kira RM100 juta.

"Ke manakah perginya semua wang itu? Mengapa ianya tidak tercatat dalam akaun jawatankuasa pengelola sekolah atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG?" soalnya.

Berikutan penyiaran program tersebut, Kesatuan Kebangsaan Guru Besar Sekolah Cina, dalam reaksinya, menuduh Dong Zong menekan pengetua kerana mahu mendapatkan semula kuasa pemberian tender kantin di SJK Cina.

Sejak itu tercetus perang mulut melalui media antara kesatuan tersebut dengan Dong Zong berhubung isu pemberian tender kantin sekolah. Bagaimanapun, kedua belah pihak akhirnya bersetuju untuk mengadakan dialog mengenainya Jumaat ini.

Dong Zong merupakan persatuan peringkat kebangsaan bagi jawatankuasa pengelola sekolah Cina.

Peranan utama jawatankuasa pengelola itu ialah untuk mendapatkan sokongan kewangan jika pihak sekolah tidak menerima bantuan secukupnya dari pihak kerajaan.

Walaupun pada tradisinya jawatankuasa tersebut menjaga harta benda sekolah dan mengendalikan urusan kantin, tetapi kuasanya telah berkurangan dan dipindahkan kepada pengetua. Perkembangan tersebut tidak disenangi oleh masyarakat Cina.

Sungutan ibubapa

Teh, Ong dan beberapa ibubapa juga turut meningkatkan langkah membanteras perbuatan rasuah itu dengan dengan meminta bantuan ibu bapa dan anggota jawatan pengelola berkenaan.

Mereka telah mengadakan mesyuarat di Kuala Lumpur Isnin lalu yang dihadiri oleh kira-kira 400 ibu bapa dan anggota jawatankuasa pengelola tersebut.

Sesetengah ibu bapa mendesak anggota kesatuan guru besar supaya bersikap telus dan mengisytiharkan harta mereka.

Mereka mendakwa, persaingan untuk mendapatkan komisyen itu mengakibatkan pihak sekolah menambah jumlah buku kerja yang perlu dibeli oleh pelajar.

Tindakan tersebut dianggap telah membebankan ibu bapa, manakala sistem persekolahan pula lebih menjuruskan kepada pertambahan kerja rumah. Ia juga mengakibatkan beg sekolah pelajar rendah menjadi semakin berat.

"Kami tidak akan membiarkan perkara ini berlanjutan. Walaupun sekiranya mereka (Dong Zong dan pihak kesatuan) berbaik-baik semula dalam dialog tersebut, tetapi ianya tidak bermakna masalah yang dihadapi oleh pelajar dan ibu bapa mereka, akan selesai," katanya.

Kesatuan tersebut sehingga ini belum menjawab tuduhan terhadapnya, tetapi mengalu-alukan usaha untuk mendedahkan amalan rasuah di kalangan pengetua. Berita asal