Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis tahan pemimpin bahagian DAP didakwa ancam ketua polis daerah

Polis hari ini menahan seorang pemimpin bahagian DAP dan merampas telefonnya berhubung dakwaan mesej bernada ancaman terhadap Ketua Polis Daerah Jerantut Mazlan Hassan.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Pahang Mohd Zakaria Ahmad mengesahkan penahanan Pengerusi DAP Jerantut Loo Why Leong.

"Dia ditahan hari ini dan dibebas dengan jaminan polis," kata Zakaria kepada Malaysiakini.

Mazlan pula ketika dihubungi mengesahkan beliau sendiri yang membuat laporan polis terhadap Loo pada Jumaat lalu.

"Saya sahkan (laporan) tetapi tidak boleh mengulas lanjut. Tunggu siasatan polis," katanya kepada Malaysiakini.

Difahamkan Loo, 53 tahun, didakwa menghantar mesej tersebut menerusi Whatsapp kepada Mazlan kerana tidak berpuas hati dengan penahanan pertamanya pada Khamis lalu.

Juga difahamkan Loo ketika itu didakwa cuba menghalang seorang anggota polis kanan daripada menahan seorang setiausaha bahagian DAP yang dituduh menjual rokok dan minuman keras "tidak bercukai".

Malaysiakini masih cuba menghubungi Loo untuk mengulas perkara ini.

Sementara itu, Setiausaha DAP Pahang Lee Chin Chen berkata beliau tidak tahu berkenaan penahanan Loo hari ini tetapi maklum lelaki itu telah ditahan Khamis lalu dan dibebaskan beberapa jam kemudian.

Lee memberitahu Malaysiakini yang Loo turut menafikan ada menghantar mesej ancaman seperti didakwa.

Lihat Komen
ADS