Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Armada K'tan sedia jadi orang tengah selesai masalah bekalan air

Pemuda Bersatu Kelantan mahu menjadi orang tengah antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan masalah bekalan air di sana.

Ketuanya Asran Alias berkata, pihaknya sedia berbuat demikian agar masalah yang sekian lama dihadapi penduduk negeri itu dapat diselesaikan.

Beliau mendakwa masalah itu semakin kritikal di beberapa kawasan dan tidak yakin kerajaan negeri mampu menyelesaikannya secara sendiri.

"Kita terima banyak rungutan daripada penduduk terutama di kawasan kritikal iaitu di Machang, Tumpat, Pasir Puteh, Ketereh dan Bachok," katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Asran bagaimanapun berkata pihaknya belum merujuk kerajaan negeri berhubung cadangan itu.

"Setakat ini kita belum jumpa mana-mana exco berkenaan...(Tetapi) Jika kerajaan negeri setuju saya akan berunding dengan kementerian berkaitan bagi menyelesaikan masalah ini," katanya lagi.

Mengulas isu tanah pembangunan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang bakal dilelong bank, Asran berkata Pejabat Tanah dan Galian Negeri (PTGN) perlu memberi penjelasan lanjut berhubung isu tersebut.

"PTGN perlu tampil memberi penjelasan berkenaan apa yang sebenarnya berlaku.

"Kita minta mereka jelaskan kronologi kes daripada awal, bermula daripada pengambilan tanah sehingga penyelesaian perjanjian dan situasi terkini," katanya.

Lelongan itu dimaklumkan mengenai satu notis yang disiar akhbar tempatan pada 13 Mei lalu, melibatkan 11 lot tanah di Bandar Baru Tunjong di Kota Bharu.

PMBK kemudian dalam satu kenyataan menjelaskan lelongan dibuat selepas syarikat pemaju gagal membayar pinjaman bank.

Lihat Komen
ADS