Most Read
Most Commented
Read more like this

rencana - bhgn satu

Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) di pusat pengajian tinggi tempatan tidak sepatutnya dibubarkan sewenang-wenangnya kerana persatuan itu sebenarnya telah diperalatkan oleh segelintir pemimpinnya untuk memperjuangkan ideologi peribadi mereka, kata presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Suhaimi Ibrahim.

"Tidak dinafikan ada unsur (pelajar) yang antikerajaan dalam PMI. Tetapi tidak bolehlah kerana wujudnya satu dua pemimpin yang bersikap sedemikan, kita korbankan seluruh pertubuhan itu," katanya.

Beliau yang dihubungi malaysiakini baru-baru ini berkata tindakan yang perlukan oleh kepimpinan PMI sedia ada ialah mengambil langkah untuk mengembalikan arah tuju persatuan itu "ke landasan yang betul".

Suhaimi berpendapat apa yang perlu dilakukan oleh persatuan itu sekarang ialah menjalankan aktiviti yang betul, terutama menjaga kebajikan pelajar seperti yang sepatutnya dan buktikan mereka bukanlah seperti yang didakwa sekarang.

Dalam tempoh seminggu, tiga persatuan pelajar telah dilaporkan dibubarkan dengan alasan persatuan itu bersifat antikerajaan dan 'gerakan bawah tanah' di kampus.

Baru-baru ini, Universiti Teknologi Malaysia membubarkan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI), manakala Universiti Teknologi Mara (UiTM) membatalkan pendaftaran Persatuan Mahasiswa Intelek (mempunyai peranan seperti PMI) dan Kelab Keusahawanan. UiTM membatalkan dua persatuan itu mengikut seksyen 9(1), (2) dan (3) Akta Institusi-institusi Pelajaran Tatatertib 1976.

Naib canselor UTM, Prof Datuk Ir Mohd Zulkifli Mohd Ghazali dilaporkan berkata pembubaran PMI bagi meredakan isu gerakan bawah tanah dan berleluasanya gerakan antikerajaan, seperti didedahkan oleh seorang bekas aktivis pelajar Wan Noor Hayati Wan Alias.

Perancang utama

Sehubungan itu, Suhaimi berpendirian bahawa sesebuah universiti itu berhak membubarkan sesuatu persatuan jika ia melakukan sesuatu yang bertentangan dengan peraturan atau etika yang ada di universiti itu.

"Selagi ia mengikut peraturan, tiada sebab untuk ia dibubarkan," katanya. Beliau pasti pihak universiti hanya akan bertindak jika sesuatu itu didapati memberi kesan negatif kepada pelajar.

Pada hari yang sama pembubaran persatuan itu dilaporkan, Persatuan Warga Warisan Melayu Muda Malaysia (Wawasan) cawangan UTM menegaskan bahawa tindakan universiti membubarkan PMI tidak semestinya akan menghapuskan gerakan bawah tanah yang didakwa wujud di pusat pengajian itu.

Sebaliknya, presiden Wawasan Zurihanmi Zakaria menegaskan gerakan itu hanya dapat dihapuskan jika universiti terbabit menyingkirkan mereka yang menjadi perancang utamanya. Beliau mendakwa mereka kebanyakannya bekas exco PMI bagi sesi 1998/1999 dan sesi 1999/2000.

Beliau dipetik berkata: "Kami menuntut agar naib canselor tidak bersekongkol dengan PMI atau gerakan bawah tanah Hizbi Islami dan Markaz Siswazah Kelantan dengan membela mereka."

Sementara itu presiden PMI Universiti Putra Malaysia, Misri Bohari pula berkata PMI di UTM dan UiTM tidak sewajarnya dibubarkan "kerana semua aktiviti PMI di universiti ini dibuat selepas mendapat kelulusan bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP)".

"Maka tidak timbul persatuan ini melakukan aktiviti yang dikatakan menjurus kepada antikerajaan atau berbentuk militan. Ia seolah-olah menafikan hak pelajar Islam berpersatuan, Kalau persatuan itu tidak ada, siapa yang akan membimbing pelajar Islam," tambahnya.

Misri juga menolak dakwaan wujudnya pengaruh parti pembangkang pro-Islam kerana persatuan pimpinannya itu tidak ada menjemput pemimpin parti berkenaan menyertai sertai aktiviti kami di universiti ini. Sebaliknya, persatuan itu sering menjemput pemimpin kerajaan termasuk menteri besar Selangor.

Malah, katanya, PMI di universiti itu sentiasa menjalin kerjasama yang baik dengan pihak pentadbiran universiti terutama HEP dan Pusat Islam di kampus.

Bermotifkan politik

Sementara itu, Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis) mendakwa tindakan mengaitkan persatuan pelajar Islam dengan gerakan berunsur militan dan bawah tanah adalah lebih "bermotif politik" serta bertujuan untuk "menakut-nakutkan pelajar."

"Mungkin kerana mengunakan nama Islam yang menyebabkan persatuan pelajar Islam ini sering dikaitkan sebagai propembangkang. Ia semacam sudah menjadi satu kebiasaan dalam masyarakat di negara ini. Label itu (propembangkang) sebaliknya tidak berlaku jika pelajar gunakan nama Melayu," kata sumber Gamis yang enggan namanya disiarkan.

Gamis adalah gabungan pemimpin daripada persatuan-persatuan pelajar Islam (PMI) yang ada di universiti-universiti di Semenanjung Malaysia.

"Sepanjang pengetahuan saya kecenderungan fahaman ahli dalam persatuan pelajar Islam kepada parti pembangkang atau prokerajaan bergantung kepada individu itu sendiri. Secara formal persatuan pelajar ini tidak ada hubungan dengan mana-mana parti," jelas sumber itu

"Mereka mengeluarkan pendirian terhadap isu pinjaman tabung pendidikan PTPTN dan gerakan mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Tapi mungkin yang disuarakan oleh kebetulan serupa dengan apa diutarakan parti pembangkang, menyebabkan ia disalah anggap," katanya lagi

Bahagian dua esok

ADS