Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Exco Armada: Bubar sekolah vernakular jika nak bincang kuota matrikulasi
Diterbitkan:  May 20, 2019 5:04 PM
Dikemaskini: 9:04 AM

Exco Pemuda Bersatu Muzzammil Ismail membidas kenyataan beberapa pemimpin MCA, DAP dan Gerakan yang mengkritik Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berhubung isu kuota kemasukan program matrikulasi.

Beliau berkata, gesaan agar kuota matrikulasi dihapuskan adalah "kerja gila dan tidak berasaskan perlembagaan".

"Tema Malaysia Baru tidak hanya berkait rapat dengan kesamarataan iaitu penghapusan kuota terhadap kaum.

"Jika mahu bicara soal keadilan, jangan cabar keterbukaan yang diberi. Jika tidak, bubarkan sekolah vernakular – baru kita bincang tentang kuota matrikulasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau antara lain mengulas kenyataan Presiden Gerakan Dominic Lau yang berkata matrikulasi sepatutnya menggunakan sistem merit dan pengkhususan kuota untuk pelajar berpendapatan rendah, bukan hanya mengekalkan kuota 90 peratus untuk bumiputera dan 10 peratus untuk bukan bumiputera.

Beberapa pemimpin DAP seperti P Ramasamy membandingkan Maszlee dengan "ahli politik Umno" dan Teng Chang Khim menyifatkannya sebagai "bodoh".

Muzzammil Ismail

Ia selepas Maszlee berkata keadilan bukan hanya kuota kaum dalam program matrikulasi, tetapi turut melibatkan isu syarat bahasa Mandarin dalam pengambilan pekerjaan.

"Tidak bersetuju atau berpuas hati bukan lesen membodohkan individu...Semua pemimpin tertinggi PH wajib teguh menyokong pendirian Maszlee, termasuk pembangkang," katanya lagi.

'Sekolah vernakular tiada diskriminasi'

Bagaimanapun, Pemuda DAP dalam satu kenyataan hari ini berkata sekolah vernakular tidak boleh diheret dalam isu kuota matrikulasi.

Tidak seperti matrikulasi, kata kenyataan itu, sekolah vernakular tidak mengenakan kuota dalam pengambilan pelajarnya.

"Pemuda DAP tidak bersetuju dengan retorik yang cuba mencampur-adukkan kewujudan sekolah vernakular dengan kuota matrikulasi.

"Sekolah vernakular tidak bersifat diskriminasi dan mengalu-alukan kemasukan semua kaum tidak kira Melayu, Cina ataupun India tanpa menetapkan kuota," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu ditandatangani 15 daripada 25 exco pemuda parti itu, termasuk timbalan ketuanya Chiong Yoke Kong. Ketua Pemuda DAP Howard Lee tidak menandatanganinya.

Kenyataan itu memetik data Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) yang menyatakan 18 peratus (90,000) daripada 520,000 pelajar di sekolah vernakular Cina merupakan orang Melayu.

"Ini menunjukkan bahawa sekolah vernakular adalah diterima semua," kata kenyataan itu lagi.

Lihat Komen
ADS