LPKP: Syarikat pengangkutan tidak perlu naikkan tambang
Sektor pengangkutan awam mampu menyerap kenaikan harga diesel baru-baru ini dan oleh itu tidak perlu menaikkan tambang masing-masing, kata Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).
Sektor pengangkutan awam mampu menyerap kenaikan harga diesel baru-baru ini dan oleh itu tidak perlu menaikkan tambang masing-masing, kata Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).
Lagi pula, kata Pengerusinya, Baharum Haji Mohamed, kos bahan bakar bukan merupakan faktor utama dalam operasi kenderaan perdagangan.
Katanya, kata kajian menunjukkan ia hanya merupakan 20 hingga 35 peratus sahaja daripada kos operasi manakala selebihnya adalah kos penyelenggaraan dan tenaga kerja.
Bercakap dalam rancangan 'Selamat Pagi Malaysia' di RTM semalam, beliau berkata, sektor itu hanya menanggung kenaikan 15 sen seliter iaitu kenaikan dua hingga tiga peratus sahaja.
Fakta Kajian tersebut, katanya, berdasarkan kepada laporan yang dikemukakan oleh syarikat kenderaan setiap tahun yang menunjukkan upah pemandu dan kos penyenggaraan seperti tayar dan alat-alat ganti adalah kos yang lebih besar.
"Oleh itu, kenaikan kos ini tidak tinggi sangat, lebih-lebih lagi kerajaan telah memperkenalkan sistem fleetcard yang membolehkan sektor ini mendapatkan subsidi 15 sen seliter," katanya.
Ubah gaya hidup
Menurut laporan Benama, beliau berkata, sektor pengangkutan awam pula akan menerima manfaat apabila lebih ramai orang menggunakan pengangkutam itu untuk berjimat cermat.
Baharum berkata, trend itu kelak menguntungkan sektor pengangkutan awam kerana kerajaan sendiri menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup baru termasuk menggunakan perkhidmatan tersebut di samping komitmen untuk menambah baik sistem tersebut.
Beliau juga menolak tanggapan bahawa pengangkutan awam adalah untuk golongan kelas rendah.
Sebaliknya, kata beliau, ia merupakan gaya hidup yang sudah diamalkan oleh masyarakat di negara maju seperti di Eropah dan Jepun.
Beliau juga yakin amalan itu akan berkembang di negara ini apabila prasarana seperti terminal bas yang lebih selesa dan tempat letak kereta yang lebih luas disediakan bagi pengguna pengangkutan awam pada masa akan datang.
Baharum seterusnya menggesa pengusaha kenderaan perdagangan supaya segera mendapatkan kad fleet yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal EHwal Pengguna kerana difahamkan masih banyak yang belum memperoleh kad tersebut.
Dana khas
Sementara itu, sebuah jawatankuasa kabinet telah ditubuhkan bagi mempertingkatkan kemudahan pengangkutan awam dan mengendalikan dana khas bagi mempertingkatkan dan mengembangkan sistem pengangkutan awam sedia ada.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy berkata jawatankuasa kabinet tersebut akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta penyertaan beberapa kementerian lain.
"Kerajaan setakat ini telah berusaha untuk mempertingkatkan kemudahan pengangkutan awam dan seperti yang telah diperjelaskan oleh Perdana Menteri bahawa sebahagian daripada penjimatan subsidi minyak kali ini akan disalurkan kepada satu dana," katanya ketika ditanya mengenai perkembangan terkini tentang penyaluran penjimatan subsidi minyak kepada pengangkutan awam.
Mengenai cadangan MAlaysia Airports Holding Bhd (MAHB) untuk meningkatkan cukai perlepasan lapangan terbang, beliau berkata perkara ini masih dalam pertimbangan.
Menyentuh mengenai perancangan Malaysia Airlines Bhd untuk mengambil kembali penerbangan domestik, Chan berkata; "Ini merupakan cadangan dan kerajaan akan memberi pertimbangan. Saya tidak mahu memberi pandangan sebelum perkara ini dirunding dalam kabinet."


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.