Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syarikat perlombongan dakwa MB T'ganu tipu status GLC negeri

Pengarah urusan sebuah syarikat perlombongan hari ini mendakwa Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berbohong kepada media berkenaan status sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).

R Rajagopal, pengarah kepada Golden Mineral Sdn Bhd (GMSB) yang baru-baru ini menang saman terhadap GLC, Permint Mineral Sdn Bhd (PMSB), mendakwa Samsuri memberi kenyataan palsu minggu lalu apabila mengatakan PMSB telah dibubarkan.

"Ada kenyataan oleh MB (Samsuri) (bahawa PMSB telah ditutup). Kami boleh sahkan dia berbohong tentangnya.

"Saya rasa media tentu lebih tahu dari kami, bahawa jika sebuah syarikat ditutup, tidak akan ada kes (di mahkamah) terhadapnya.

"Syarikat ini masih wujud. Media boleh periksa statusnya dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Saya juga lampirkan salinan status syarikat (daripada rekod SSM)," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Rajagopal merujuk kenyataan Samsuri yang disiarkan Berita Harian 15 Mei lalu, yang mengatakan kerajaan negeri menyerahkan soal melunaskan pampasan RM15.3 juta kepada GMSB kepada proses undang-undang.

Beliau juga dipetik berkata, kerajaan negeri tidak boleh berbuat apa-apa kerana syarikat itu telah dibubarkan, dan soal perundangan itu antara dua syarikat tersebut.

Samsuri berkata demikian ketika mengulas dakwaan Rajagopal sebelum itu bahawa kerajaan negeri menganiaya GMSB apabila PMSB enggan membayar RM15.3 juta ke atas kehilangan keuntungan GMSB seperti yang diarahkan Mahkamah Rayuan.

Ketika sidang media hari ini, Rajagopal mendakwa Samsuri tidak boleh mengatakan kerajaan negeri tiada kaitan dengan isu perundangan antara dua syarikat itu.

Katanya, PMSB dimiliki Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (Permint), justeru ia sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan negeri.

"Jika beliau (Samsuri) mendakwa kerajaan negeri tiada kaitan daalm isu ini, maka sila rujuk afidavit yang mereka sendiri failkan di mahkamah (untuk kes itu), di mana pengarah (PSMB) sendiri menyatakan syarikat itu milik Permint dan melibatkan kepentingan awam," katanya lagi.

Malaysiakini sedang menghubungi pejabat Samsuri untuk memberi maklum balas berkenaan perkara ini.

Menurut Rajagopal, Mahkamah Rayuan pada September 2018 mengarahkan PSMB membayar pampasan RM15.3 juta kepada GMSB.

Pampasan itu untuk 20 bulan - antara Ogos 2010 hingga Mac 2012 - ketika Golden Mineral tidak dapat menjalankan kegiatan perlombongan di Kemaman, Terengganu ekoran pertikaian kontrak antara kedua-dua pihak.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 Mac lalu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS