Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiba masanya gubal akta kekang kebencian agama dan kaum

ULASAN | Kebebasan bersuara bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) kelihatan makin disalah guna untuk menyemai kebencian terhadap kerajaan yang telah membuka pintu untuk pandangan yang sihat serta matang. Selepas setahun kerajaan PH membenarkan lebih keterbukaan dalam media, ia kelihatan makin banyak disalah guna.

Keganasan yang berlaku di jalanan di Indonesia kerana isu politik selepas pilihan raya umum adalah contoh yang patut diambil iktibar. Pihak berkuasa Indonesia terpaksa menyekat sebahagian sistem media sosial selepas enam orang telah terbunuh dan beratus cedera dalam rusuhan.

Isu sensitif yang menimbulkan kemarahan dan kebencian yang disebarkan melalui media sosial telah mencetus rusuhan tersebut.

Pihak berkuasa mengawal keadaan dalam rusuhan di Jakarta semalam.

Apa jua kebebasan perlu digunakan dengan penuh tanggungjawab serta kematangan. Tidak ada kebebasan mutlak tanpa batasan yang boleh dibenarkan untuk memporakperandakan negara.

Negara Barat yang terkenal dengan kebebasan yang luas pun telah sedar bahaya akibat salah guna media yang boleh mencetuskan keganasan dan kekacauan.

Beberapa hari lepas negara-negara Barat utama dunia telah berkumpul di Paris, Perancis untuk membincang dan mengujudkan undang-undang mengawal penyebaran berita menghasut ke arah kebencian agama dan kaum.

Beberapa insiden hitam baru-baru ini termasuk pembunuhan 50 umat Islam di dalam masjid di New Zealand yang menggunakan Internet untuk menyebar kebencian dan menyiarkan pembunuhan secara live streaming antara kes yang tidak boleh diterima dunia. Sesuatu perlu dilakukan sebelum ia menjadi lebih parah.

Malaysia baru sahaja mengimbas kembali 50 tahun ulang tahun peristiwa rusuhan hitam tragedi 13 Mei. Sudah tentu kita tidak patut membenarkan suasana yang boleh menjurus ke arah suasana tersebut wujud semula di negara kita.

Malangnya beberapa hari selepas tarikh 13 Mei, Isma telah memburukkan nama kerajaan PH dengan membuat tuduhan sensitif "Islam dibuli" melalui isu setem Pos Malaysia yang mempunyai gambar gereja.


Setem gereja: Presiden Isma padam hantaran, mohon maaf


Mengapa bila Pos Malaysia menggunakan gambar gereja di setem bermaksud Islam dibuli? Dan isu ini dikaitkan pula dengan pemerintahan kerajaan PH dan kononnya kerana tindakan tersebut orang asing akan fikir Malaysia negara Kristian.

Anehnya presiden Isma tidak pula berfikir orang Islam dibuli pada tahun 2016 apabila setem ini mula-mula dikeluarkan?

Kenapakah tiga tahun kemudian apabila setem yang sama dikeluarkan pada waktu pemerintahan kerajaan PH memerintah ia tiba-tiba menjadi "kontroversi" pada presiden Isma?

Status FB ini telah dipadam

 Apakah hujah dan logik pemikiran beliau? Adakah semata-mata kerana ia berlaku waktu kerajaan PH, segala perbuatan menjadi tidak betul?

Sudah sampai masanya kerajaan menimbang akta menghalang tuduhan menimbulkan kebencian berasaskan agama dan bangsa. Dunia antarabangsa telah bergerak ke arah itu. Seperti Malaysia, memang wajar pertimbangan serius di beri ke arah itu.

Kita baru mengenang 50 tahun tragedi hitam 13 Mei 1969, peristiwa berdarah negara. Sepatutnya kita kesal akan apa yang telah berlaku.

Bukan hendak meniup kembali sentimen keagamaan kononnya Islam dibuli. Ini adalah perbuatan tidak bertanggungjawab oleh presiden Isma.

Kerajaan mesti bertindak sebelum ramai lagi pihak lain menurut jejak presiden Isma jika tiada tindakan diambil.

Saya harap kita akan dapat mengikuti langkah negara Barat yang bermesyuarat menggubal akta khas baru setelah menyedari betapa serius isu membakar kebencian agama dan kaum sebelum ia menjadi lebih parah.

Kalau demokrasi yang lebih lama wujud dan matang di Barat mengalami masalah besar kebencian agama dan kaum, demokrasi yang lebih muda seperti di Malaysia dan Indonesia perlu menangani isu ini dengan lebih segera dan berkesan sebelum ia lebih menular.


RAJA BAHRIN SHAH ialah pengerusi Biro Antarabangsa Amanah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS