Mahkamah Rayuan Singapura hari ini membenarkan penangguhan hukuman mati ke atas seorang rakyat Malaysia P Pannir Selvam, yang dijadual digantung pada Jumaat esok, 24 Mei atas kesalahan mengedar dadah.

Penasihat Lawyers for Liberty, N Surendran dalam ciapan petang tadi berkata: "Penangguhan hukuman ke atas Pannir Selvam baru saja diberikan oleh Mahkamah Rayuan Singapura!"

Menurut Surendran, panel yang diketuai oleh ketua hakim republik itu, membenarkan Pannir Selvam untuk mencabar proses pengampunan.

Pannir disabitkan pada 27 Jun, 2017 oleh Mahkamah Tinggi Singapura kerana mengedar 51.84 gm diamorphine di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 3 September 2014.

Keluarga lelaki berusia 32 tahun itu juga telah mengemukakan rayuan akhir bagi pengampunan kepada Presiden Singapura Halimah Yacob tetapi permohonan mereka telah ditolak.

Sehubungan itu, mereka beralih ke Putrajaya untuk menyelamatkannya.

Pada Selasa lalu, Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata kerajaan sedang berusaha untuk mencuba dan meyakinkan kerajaan Singapura untuk tidak menggantung Pannir Selvam.

[Baca berita penuh]