Langkah Bangsa Johor bergerak membina negeri itu ke arah lebih baik boleh dikhianati oleh fitnah dan maki-hamun didalangi kumpulan yang kecewa, kata Pemuda Amanah.

Naib ketuanya Shazni Munir Mohd Ithnin berkata usaha itu dilakukan pihak tertentu dengan menyalahgunakan nama "Johor".

Katanya laman-laman picisan tersebut giat menyebarkan kebencian dan kecurigaan ketika Bangsa Johor bersatu dengan dukungan semua kaum dan agama.

"Kewujudan laman dan akaun media sosial yang sewenang-wenangnya menggunakan nama Johor untuk meniupkan kebencian sesama Bangsa Johor jelas mengkhianati adab dan kesusilaan bangsa ini.

"Ia juga suatu kecurangan yang cuba dibina oleh orang-orang yang kecewa dan gagal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shazni Munir berkata demikian sebagai mengulas beberapa akaun media sosial yang menggunakan nama Johor dan kata-kata kesat untuk mengecam PH.

Antaranya menggelar Anggota Parlimen Labis, Pang Hok Liong sebagai "anjing" kerana masuk ke Masjid Tenang Stesen pada 10 Mei lalu.

Tolak seruan kebencian

"Adoi apa nak jadi ni, apa kejadahnya bawa masuk apek ni dalam masjid? Dia nak bagi tazkirah ke? Atau ceramah agama?

"Kita yang Islam ni nak masuk masjid pun kena bersihkan badan, apek ni dah mandi wajib ke? Dah la tak sunat!

"Hello Pang Hok Liong, jangan ingat lu (kamu) Ahli Parlimen Labis (DAP) lu boleh berucap sesuka hati dalam masjid," kata hantaran itu.

Tidak lama kemudian tular pula gambar lain memaparkan wakil rakyat bukan Islam dari BN menghadiri majlis di masjid ketika gabungan tersebut masih menjadi kerajaan.

Kata Shazni Munir pihak yang mendalangi hantaran berbaur perkauman dan fitnah itu sengaja meniupkan kecurigaan dalam kalangan rakyat untuk melaga-lagakan mereka dengan pemimpin.

"Justeru kita menyeru kepada semua anak bangsa agar menolak seruan-seruan kebencian seperti ini.

"Sebagai sebuah tamadun yang tidak pernah dijajah dan terbina ratusan tahun lamanya, Bangsa Johor wajar matang untuk mengenali, siapa pejuang dan siapa petualang.

"Pada bulan mulia ini, marilah sama-sama kita berdoa agar bangsa ini terus terpelihara daripada sebarang cubaan untuk mengeruhkan hubungan sesama kita," katanya.