Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setiap kali saya berasa mungkin saya tidak perlu - malah tidak akan - menulis lagi, ada sahaja sesuatu yang berlaku menyebabkan saya menulis lagi.

Kali ini, apabila saya menerima mesej WhatsApp daripada Zaini Hassan yang menghantar surat terbuka Prof Emiritus Dr Hashim Yaacob (yang saya tidak kenali) kepada Dr Mahathir Mohamad, kepada saya.

Pada 2014, mungkin sayalah yang paling banyak menulis dan berucap menentang cadangan Najib Razak, perdana menteri BN pada masa itu untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948.

Semua ucapan itu boleh didapati dalam laman-laman web saya. (Untuk memudahkan rujukan, saya berikan tarikh-tarikhnya: 17 07 2014, 21 07 2014, 06 09 2014, 03 10 2014, 23 11 2014 dan 10 12 2014.)

Saya menentang pemansuhan Akta Hasutan atas alasan-alasan yang saya bahagikan kepada dua bahagian. Pertama, prosedur yang digunakan dan, kedua, mengenai merit (baik tidaknya) pemansuhan itu.

Ringkasnya, mengenai prosedur, pertama, Akta Hasutan terletak di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri (pada masa itu Ahmad Zahid Hamidi). Tetapi usaha memansuhkannya dan menggantikannya dengan apa yang dikenali dengan tiga Rang Undang-undang Harmoni diambil alih oleh Menteri di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Joseph Kurup (anak negeri Sabah).

Kedua, biasanya, isu dasar seperti sama ada sesuatu akta itu hendak dipinda atau dimansuhkan dan digantikan atau tidak, ditentukan oleh kementerian yang bertanggungjawab melaksanakan akta berkenaan kerana ia mengetahui di mana kelemahannya dan ia mempunyai segala maklumat, termasuk - dalam kes ini - maklumat rahsia yang perlu ditimbang sebelum ia di bawa ke Kabinet.

Sampai ucapan khas

Tetapi, dalam cadangan memansuhkan Akta Hasutan itu, pada 2014, soal dasar diserahkan kepada Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar (JUUD), sebuah jawatankuasa yang ditubuh oleh Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN) atau dalam bahasa Inggerisnya, Majlis Perundingan Perpaduan Kebangsaan (NUCC). MPKN ditubuh oleh JPNIN.

Lebih menarik ialah Pengerusi JUUD itu ialah Dr Mujahid Yusof, anggota parlimen PAS Parit Buntar (sekarang Menteri di JPM).

Timbalan Pengerusi JUUD ialah Lim Chee Wee, bekas presiden Majlis Peguam.

Ketiga, mengikut amalan biasa, gubalan sesuatu rang undang-undang adalah tugas Peguam Negara. Mengapa dalam kes itu ia diambil alih oleh Majlis Peguam?

Usaha itu ditentang dengan kuatnya oleh NGO Melayu/Islam diketuai oleh Perkasa (yang mengadakan Konvensyen Perpaduan Nasional pada 23 November 2014, iaitu empat hari sebelum Persidangan Agung Tahunan Umno diadakan).

Saya dijemput menyampaikan ucapan khas di konvensyen itu.

Dalam ucapan itu - antara lain - saya menjawab alasan yang diberi oleh Mujahid bahawa akta itu adalah warisan penjajah (sebab ia dibuat pada 1948).

Saya jelaskan:

“Akta Hasutan asalnya dibuat oleh British pada 1948 apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan untuk mengekang penentangan kepada pemerintahan British. Secara ringkas, ia mengandungi kesalahan-kesalahan kerana menghasut untuk membangkitkan kebencian dan tidak taat setia kepada raja atau kerajaan, menghasut rakyat untuk mendapat perubahan dengan cara yang tidak sah, menghasut orang supaya benci kepada pentadbiran keadilan, menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Malaysia, mengembangkan perasaan permusuhan antara kaum.

"Bukan semua isi kandungan akta itu dibuat oleh penjajah British pada 1948. Itu kita mesti tahu. Peruntukan yang sangat penting, iaitu seksyen 3(1)(f), dibuat selepas peristiwa 13 Mei 1969 pada era Abdul Razak Hussein untuk mengelak berulangnya peristiwa serupa.

"Seksyen itu dimasukkan melalui Emergency (Essential Powers) Ordinance No 45, 1970 (P.U. (A) 282/1970) berkuat kuasa pada 10 Ogos 1970.

"Bagi saya, kewujudan Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan adalah kemuncak kejayaan politik orang Melayu dan Abdul Razak.

"Ringkasnya, seksyen 3(1)(f) memperuntukkan bahawa menjadi kesalahan bagi seseorang jika dia mempersoalkan hak kewarganegaraan, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu atau anak negeri Sabah dan Sarawak dan kedudukan Raja-Raja Melayu.”

Sehari selepas persidangan itu, Ketua Wanita Umno Sharizat Jalil, dalam ucapannya di Persidangan Agung Umno menyatakan pendiriannya membantah pemansuhan Akta Hasutan.

Pendiriannya itu bercanggah dengan pendirian Najib.

Sharizat memberitahu saya - apabila kami bertembung di PWTC - bahawa beliau membuat keputusan sedemikian kerana, ke mana sahaja beliau pergi, beliau diminta merujuk kepada rencana saya mengenainya.

Esoknya, Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin, dalam ucapannya di persidangan itu menyatakan pendirian yang sama. Malah beliau memetik ucapan saya.

Ini pengakuannya sendiri, sambil menambah: “Saya mendapat inspirasi daripada Tun Hamid.”

Esoknya, iaitu sehari sebelum ucapan perasmian di persidangan ituNajib membuat pusngan U dan menyatakan pada sidang akhbar bahawa Akta Hasusan tidak akan dimanuhkan, tetapi akan ditambah baik.

Beliau mengulanginya dalam ucapan rasminya di persidangan itu.

Kemuncak kejayaan politik Melayu

Tidak syak lagi beliau membuat keputusan itu kerana tentangan dalam Umno sendiri, NGO Melayu yang diketuai Perkasa, walaupun Azman Ujang mengatakan ucapan saya itu memain peranan penting.

Antara lain, katanya:

"Penentangan dalam Umno terhadap janji Najib untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 itu adalah time bomb yang akan meletup di perhimpunan agung parti pada minggu lalu jika perdana menteri tidak memadamnya (diffuse) pada saat-saat akhir.

“Sesuatu berlaku pada 23 Nov, hanya empat hari sebelum ucapan pembukaan Najib di perhimpunan ......

"Pada hari itu, bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad berkata bahawa cadangan untuk memansuhkan Akta Hasutan adalah satu adalah satu kesilapan.

"Berucap di konvensyen mengenai perpaduan negara, Hamid mengingatkan negara bahawa walaupun akta itu diadakan oleh British untuk menangani bangkangan terhadap pemerintahan kolonial, ia juga mengharamkan perbuatan mencetuskan kebencian antara kaum dan ketidaksetiaan kepada raja-raja Melayu.

"Dan beliau mengatakan bahawa tidak semuanya dalam akta itu dibuat oleh Inggeris."

"Kemudian tibalah hujah yang menyebabkan "perubahan hati" Najib atas pendirian tegarnya yang terdahulu untuk memansuhkan akta tersebut. Itulah tujuannya sehingga 5 Sept.

"Hamid mendedahkan bahawa pindaan yang paling penting kepada akta itu dibuat selepas 13 Mei 1969 oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, bapa Najib.

"Beliau berkata Seksyen 3(1)(f) ditambah untuk mengelakkan berulangnya tragedi 13 Mei. Pindaan itu menjadikan suatu kesalahan untuk mempersoalkan hak kewarganegaraan, kedudukan raja-raja Melayu, status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan peruntukan kuota khas dan permit kepada orang Melayu dan anak- anak negeri Sabah dan Sarawak.

“Bagi saya, pengwujudan seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan adalah kemuncak kejayaan politik orang Melayu dan Tun Abdul Razak,” katanya.

Dalam ucapannya di perhimpunan itu, Najib mengumumkan bahawa akta itu akan dikekalkan disambut tepukan gemuruh perwakilan yang paling riuh di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra.” (Terjemahan saya kepada berita The Sun 4 Disember 2014).

Dalam kata lain, Najib memungkiri janjinya kepada NGO bukan Melayu untuk memansuhkan Akta Hasutan. Sekarang BN ditumbangkan oleh PH. Mujahid menjadi menteri. Demikian juga dengan Saifuddin Abdullah, seorang daripada anggota MKPN. Maka, tidak hairanlah jika cadangan itu dihidupkan semula.

Tetapi, jika dahulu terdapat tiga highjacking, sekarang - setakat yang diketahui - hanya satu. Sekarang, Menteri Dalam Negeri ialah Muhyiddin. Akta Hasutan terletak di bawah bidang kuasanya.

Mengapa Menteri di JPM (Undang-undang), Liew Vui Keong, mengambil alih untuk memansuhkannya?

Harus diingati bahawa Menteri di JPM (Undang-undang) bukan bertanggungjawab mengenai undang-undang yang terletak di bawah bidang kuasa semua kementerian.

Beliau hanya bertanggungjawab mengenai undang-undang bagi perkara-perkara yang terletak di bawah jabatan-jabatan yang terletak di bawah JPM, termasuk mahkamah.

Keadaan lebih buruk

Akta Hasutan terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri. Mengapa beliau mengambil alih tugas itu? Mengapa Muhyiddin membiarkannya? Apa pendirian Kementerian Dalam Negeri? Apakah pendirian Muhyiddin sekarang?

Mengenai meritnya, memadai kita tumpukan kepada seksyen 3(1)(f) yang memperuntukkan:

“(f) bagi mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan.”

Bahgian III adalah mengenai kewarganegaraan. Perkara 152 ialah mengenai bahasa kebangsaan. Perkara 153 adalah mengenai “perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu atau anak negeri Sabah dan Sarawak.”

Mempersoalkan perkara-perkara yang tersebut itu menjadi kesalahan di bawah akta berkenaan.

Soalnya, adakah rakyat Malaysia sekarang begitu menghormati Perlembagaan Persekutuan sehingga mereka tidak lagi mempersoalkan perkara-perkara itu yang menyebabkan peruntukan itu tidak perlu lagi?

Tanpa menyenaraikan satu persatu apa yang berlaku, saya katakan bahawa, kebelakangan ini keadaan menjadi lebih buruk.

Pihak-pihak tertentu bukan sahaja mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu dan anak-anak Sabah dan Sarawak, kedudukan agama Islam, institusi raja-raja Melayu, malah menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.

Mereka berani berbuat demikian kerana tahu tindakan tidak diambil terhadap mereka sebab pelaksanaan Akta Hasutan telah “digantung.”

Sebenarnya, dalam undang-undang tidak ada kuasa yang diberikan kepada kabinet untuk “menggantung” pelaksanaan sesuatu akta.

Selagi sesuatu akta itu masih berkuat kuasa, menjadi tanggungjawab eksekutif melaksanakannya. Jika eksekutif tidak melaksakannya, itu satu kegagalan eksekutif.

Jika akta itu tidak diperlukan lagi, eksekutif bolehlah membawanya ke parlimen untuk memansuhkannya.

Tujuan Abdul Razak mengadakan peruntukan itu ialah untuk mengelak berulangnya peristiwa 13 Mei.

Adakah hubungan antara kaum sekarang begitu baik hingga kemungkinan berulang peristiwa itu sudah tidak ada lagi?

Saya tidak berani berkata demikian. Saya percaya, pada masa ini ketenteraman masih terkawal kerana orang Melayu masih bersabar dan tidak bertindak balas.

Bagaimana - jika terlalu didesak - orang Melayu menyerang balas dan mempersoalkan kerakyatan yang diberikan kepada orang bukan Melayu? Tidakkah ketenteraman negara akan tergugat?

Semua itu perlu difikirkan. Mungkin menteri yang berasal dari Sabah yang berumur sembilan tahun dan tinggal di Sabah semasa peristiwa Mei 13 belaku tidak dapat menghayati keperluan seksyen 3(1)(f).

Apakah pendirian yang patut diambil oleh orang Melayu?

Pada 2014, penentangan terhadap pemansuhan akta itu hanya di peringkat NGO dan Umno. Ia tidak menyeluruh ke semua peringkat masyarakat Melayu/Islam seperti yang berlaku semasa penentangan terhadap Icerd.

Sekarang, orang Melayu perlu berfikir sama ada mereka mahu hak keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak, kedudukan agama Islam, institusi raja-raja Melayu dipersoalkan dan Nabi Muhammad dan agama Islam terus dihina atau tidak?

Adakah mereka akan terus bersabar demi untuk memelihara ketenteraman negara? Adakah mereka mahu peristiwa 13 Mei berulang?

Bukankahkah lebih baik untuk mengekalkan akta itu untuk menghalang peristiwa seperti itu berulang. Singapura pun masih mengekalkannya dan melaksanakannya dengan tegas.

Pokok pangkalnya ialah janganlah ia disalahgunakan. Apa yang berlaku sekarang dan, saya khuatir, akan menjadi lebih buruk jika Akta Hasutan dimansuhkan, ialah penyalahgunaan kebebasan bersuara.

Semua penyalahgunaan adalah tidak baik. Tetapi, sebuah kerajaan yang bertanggungjawab tidak sepatutnya menyalahgunakan kuasa.

Sebaliknya, penyalahguaan kebebasan bersuara oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab boleh membawa bencana kepada seluruh negara. Fikirlah sendiri.


ABDUL HAMID MOHAMAD ialah bekas ketua hakim negara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS