MCA menggesa enam menteri kabinet mendedahkan sama ada kabinet bersetuju mengekalkan kuota 90:10 bagi program matrikulasi.

Dalam kenyataan medianya hari ini, jurucakap MCA Saw Yee Fung, yang menyifatkan kuota itu sebagai tidak adil, juga bertanya sama ada DAP bersetuju dengan penghapusan matrikulasi.

"Jika mereka ada menyuarakan rasa kurang senang dalam kabinet, ini lebih mengejutkan kerana ia hanya menunjukkan bahawa dakwaan kesamarataan (Dalam PH) yang dibuat oleh DAP hanya ilusi parti itu.

"Sedangkan kerajaan PH sebenarnya hanya diperintah oleh perdana menteri sendiri dan pandangan DAP tidak diambil kira," kata Saw.

Saw juga mendakwa DAP berkompromi dengan hak perlembagaan bukan bumiputera dengan tidak menentang kuota berkenaan.

Matrikulasi merupakan program pra-universiti yang dimulakan pada 1999 - ketika MCA merupakan parti kerajaan. Matrikulasi ditubuhkan bagi menggalakkan kemasukan bumiputera ke universiti dan kelayakan itu tidak diiktiraf di luar negara.

Pada sesi 2003/2004, matrikulasi mula menerima kemasukan bukan bumiputera dengan kuota 10 peratus.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan penambahan 60 peratus kemasukan matrikulasi dengan mengekalkan kuota 90:10.

Maszlee berkata, penambahan itu akan memberi peluang lebih ramai bukan bumiputera diterima masuk matrikulasi tanpa menjejaskan kuota bumiputera.

Bagaimanapun, beberapa pihak termasuk wakil rakyat DAP menyifatkan dasar itu akan menyebabkan pemegang STPM akan lebih sukar diterima masuk ke universiti, sementara pemimpin MIC menuntut agar kuota khas bagi kaum India seperti diberikan pada era BN dikembalikan.

[Baca berita asal]