Kakitangan Kerajaan Negeri Perlis gred 56 dan ke bawah akan mendapat bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM550 seorang dan pesara kerajaan negeri akan menerima bantuan RM250 seorang.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebooknya berkata pembayaran akan dilakukan pada 27 Mei ini.

Beliau berkata bantuan RM550 itu adalah untuk kakitangan tetap dan termasuk pegawai lantikan sementara.

Bantuan itu juga akan diberikan kepada pemandu-pemandu yang dilantik Speaker, Exco Kerajaan negeri dan anggota Unit Pembangunan Komuniti (UPK).

“Kerajaan Perlis juga bersetuju untuk membayar baki lagi RM325 kepada pesara kerajaan yang dilantik semula di bawah ‘Contract for/of service’ dan UPK menjadikan RM550 sama seperti penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan rasmi di Facebook miliknya.

Katanya pemberian bantuan khas sempena Aidilfitri ini adalah bagi menghargai kakitangan awam di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis.

“Diharapkan pemberian bantuan khas ini dapat meringankan beban kewangan penjawat awam negeri Perlis dalam merancang persiapan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri 2019 yang dijangka disambut pada 5 Jun ini,” katanya.

- Bernama