Paling Popular
Terkini

Keperluan golongan asnaf menjadi perkara paling utama dalam pemberian sumbangan zakat - begitu pandangan mufti dan aktivis sosial.

Menganggap saranan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik agar sumbangan zakat diberikan dalam bentuk buku sebagai cadangan yang baik, mereka bagaimanapun membangkitkan soal apakah sumbangan itu lebih diperlukan untuk golongan asnaf.

Menurut Mufti Pulau Pinang, Dr Wan Salim Mohd Noor, keperluan terhadap perkara asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal perlu diutamakan terlebih dahulu sebelum mengambil kira sumbangan lain.

"Kita utamakan (mana yang) lebih diperlukan, maknanya, keperluan asas- makanan, pakaian dan tempat tinggal. Kalau itu dah mencukupi barulah kita beralih kepada keperluan lain dari segi ilmu dan sebagainya.

“Dan kita tak nafikan ilmu itu adalah penting untuk manusia termasuklah asnaf, kerana dengan ilmu mereka boleh keluar daripada kepompong kemiskinan. Tapi yang kita kira ialah proritinya, keutamaannya. (Maknanya) makanan dululah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Lebih-lebih lagi, ulasnya, masih ramai lagi rakyat Malaysia memerlukan bantuan daripada aspek keperluan asas seperti makanan dan pakaian, sama ada di bandar mahupun luar bandar.

“Saya tidaklah menentang (saranan itu), tapi berikan apa yang lebih utama dahulu. Yang lebih penting diutamakan,” tambahnya lagi.

Mufti Pulau Pinang, Dr Wan Salim

Maszlee baru-baru ini melancarkan Program Zakat Semarak Ilmu yang melibatkan pengagihan tajaan dalam bentuk buku terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) bernilai RM700,000 kepada 4,600 pelajar asnaf dari sekolah-sekolah di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Program tersebut merupakan usahasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Pusat Pungutan Zakat (PPZ), dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Daripada jumlah tersebut, RM300,000 adalah sumbangan daripada Wakalah KPM melalui MAIWP, RM50,000 datangnya daripada sumbangan PPZ-MAIWP manakala ITBM pula menyumbangkan buku bernilai RM350,000.

Wakalah merujuk kepada dasar pengembalian semula wang zakat oleh MAIWP kepada individu, syarikat atau organisasi, majikan serta institut pengajian tinggi (IPT) yang membayar zakat kepada PPZ-MAIWP untuk diagihkan sendiri kepada asnaf yang layak dengan kriteria tertentu.

Dalam majlis tersebut, Maszlee turut menyarankan lebih banyak organisasi berkaitan zakat dan syarikat korporat memberikan sumbangan zakat dalam bentuk buku kepada golongan asnaf selain bantuan makanan dan kewangan.

Dengar keperluan asnaf

Sementara itu, bagi aktivis yang sering ke hadapan menyantuni golongan asnaf, Syed Azmi Alhabshi, apa-apa jenis bantuan jua perlulah mengikut pada keperluan golongan asnaf itu sendiri.

Syed Azmi

“Saya rasa untuk menyantuni asnaf, ia bukanlah mengenai apa yang kamu beri kepada mereka, tetapi apa yang kamu dengar daripada mereka (tentang keperluan mereka), kemudian (barulah) kamu sediakan (mengikut keperluan mereka).

“[...] Macam hari ini, satu hari saya di Perak menyantuni golongan asnaf. Saya bercakap dengan ibu, kemudian dengan anak. Bila bercakap dengan budak-budak darjah enam, dia kata, yuran belum bayar.

“Jadi, adalah lebih wajar pembayaran yuran UPSR untuk dia dari segi kewangan. Walaupun buku membantu dia cemerlang, tapi kalau dia tak bayar yuran UPSR RM120, macam mana?,” katanya kepada Malaysiakini.

Keperluan berbeza-beza

Tambahnya, adalah penting untuk mengambil tahu keperluan setiap asnaf itu sendiri memandangkan keperluan setiap mereka berbeza-beza mengikut keadaan dan tempat.

Memberikan contoh sekolah-sekolah di bandar yang mempunyai penduduk berpendapatan lebih tinggi, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mungkin boleh membuat sumbangan untuk menanggung yuran peperiksaan pelajar asnaf.

Bagaimanapun, jelasnya, keadaan berbeza di kawasan luar bandar yang mempunyai penduduk yang rata-ratanya miskin.

“Tahu tak, di Pasir Mas, untuk seorang budak (darjah enam), saya perlu ikhtiarkan untuk cari RM470 seorang untuk setahun. Bila orang marah, tanya kenapa mahal sangat, saya jawab ‘itu keperluan dia’.

“... Jadi kita tengok untuk zakat, saya selalu kata- (tengok) siapa yang minta, kenapa dia minta, dan apa dia hendak. Bila kita buat macam itu, kita dapat semua maklumat, tahu semua benda. Tapi anda kena bagi mereka hak (untuk suarakan keperluan),” tambahnya lagi.

YB perlu turun padang

Syed Azmi mencadangkan kerajaan meluaskan skop bantuan zakat bergantung kepada keperluan pelajar asnaf seperti yuran pengangkutan, kursus pembelajaran, kelas pendidikan, dan sebagainya.

Sementara itu, menjawab kritikan sesetengah pihak yang memperlekehkan cadangan Maszlee bahawa tiada gunanya memberi buku jika asnaf tidak mampu makan dan minum, Syed Azmi tidak bersetuju dengan pendapat umum tersebut.

Berdasarkan pengalamannya, rakyat Malaysia bersikap pemurah dan sentiasa memberikan sumbangan untuk membantu golongan memerlukan sehingga bekalan keperluan asas seperti beras telur, lampin pakai buang dan susu kanak-kanak tidak pernah putus.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan pemimpin untuk lkerap turun padang bagi mengetahui dengan lebih mendalam berkenaan keperluan golongan asnaf.

“Tentang (saranan zakat) buku ini, saya rasa YB Maszlee ini seseorang yang pandang ke depan. Jadi dia tengok sesuatu dari segi (untuk) mendapatkan ‘faedah bagi kedua-dua pihak’.

“Saya rasa sedikit sebanyak, setiap YB perlu turun padang. (Selain itu) Kita juga perlu lihat soal penguatkuasaan (terhadap saranan itu)”, katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS