Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Belum masanya bincang pembahagian kerusi Umno, PAS
Diterbitkan:  May 26, 2019 11:35 AM
Dikemaskini: 3:37 AM

Perbincangan mengenai pembahagian kerusi pilihan raya belum sesuai diadakan di antara PAS dan Umno, kata Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan, Johari Abdul Ghani.

Sebaliknya, beliau berkata, kedua-dua parti terbabit perlu terus menjalinkan kerjasama lebih padu dengan memberi perhatian penuh kepada perjuangan bersama.

Walaupun mengakui perbincangan mengenai pembahagian kerusi penting buat Umno dan PAS, Johari menjelaskan ia masih terlalu awal kerana pilihan raya umum (PRU) baru saja diadakan tahun lalu.

Untuk rekod mengikut Perlembaaan Malaysia PRU mesti diadakan setiap lima tahun bagi membolehkan sesebuah parti atau gabungan mendapatkan mandat daripada rakyat.

Bagaimanapun pada ketika tertentu parlimen dibubarkan sebelum tempoh lima tahun itu dicapai, dengan lazimnya diadakan pada tahun keempat.

Pertengahan bulan ini seorang pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, mengingatkan ada kemungkinan berlaku PRU mengejut dan perbincangan mengenai pembahagian kerusi wajar diadakan.

Bagi sesetengah pemerhati, isu pembahagian kerusi di antara Umno dan PAS menarik untuk disaksikan kerana kedua-dua parti pernah bermusuhan selama beberapa dekad.


Baca Ku Li beri amaran kemungkinan PRU mengejut


Pengagihan itu dilihat berpotensi memberi masalah kepada Umno dan PAS jika timbul rasa tidak puas hati kerana sesebuah parti perlu menyerahkan kerusi tradisi mereka kepada rakan baru mereka.

Menurut Johari Umno dan PAS perlu mengelakkan kesilapan dilakukan pada PRU ke-14 lalu apabila kedua-dua parti bertembung sesama sendiri dan akhirnya PH menang.

"Sedangkan Umno dan PAS mempunyai agenda yang sama.

"Jadi sudah tentu perbincangan itu sangat penting.

“Tapi soalnya mungkin terlalu awal untuk dibincangkan pada hari ini kerana kita baru setahun PRU dan sudah tentu perbincangan ini perlu diadakan pada masa akan datang," katanya seperti dipetik Sinar Online.

Johari yang juga bekas menteri kewangan kedua dan anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata demikian selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan barangan keperluan harian di Kuala Lumpur.

Seramai 2,500 anggota Umno dari 88 cawangan parti itu dalam bahagian Titiwangsa terpilih menerima bantuan tersebut.

Lihat Komen
ADS