Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Operasi SAR nelayan hilang temukan satu mayat

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan yang dilapor hilang di perairan Pulau Pisang, dekat Pontian, menemukan satu mayat dipercayai seorang daripada mangsa, hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata mayat berkenaan ditemukan terapung di kedudukan kira-kira 1 batu nautika barat daya Tanjung Laboh, Batu Pahat, pada 8.15 pagi tadi.

"Mayat ditemukan pasukan SAR dari Zon Maritim Batu Pahat sebelum dibawa ke jeti Zon Maritim Batu Pahat.

"Mayat ditemukan lebih kurang 23.5 batu nautika arah barat laut dari lokasi mangsa dipercayai hilang," kata Aminuddin menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata proses pengecaman dan pengesahan mayat berkenaan seterusnya akan dilakukan oleh pihak keluarga mangsa.

Khamis lepas, kedua-kedua nelayan, Mohd Yusni Mohd Yusof, 43, dan sepupunya, Mohd Khair Ismail, 38, pergi ke perairan berkenaan untuk menjaring ikan sebelum tidak pulang semula ke rumah masing-masing.

Keluarga mereka yang bimbang dengan keadaan tersebut membuat laporan polis keesokan harinya, sebelum operasi SAR digerakkan melibatkan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM), bomba, Pasukan Polis Marin dan nelayan setempat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS